SEMPENA ulang tahun ke-15 penubuhannya, ShekhinahPR terus memperkukuh komitmen terhadap pembangunan sukan akar umbi menerusi penajaan RM15,000 bagi Kejohanan ShekhinahPR Junior Invitational Mixed Doubles.

Kejohanan tersebut akan berlangsung bersempena CIMB KL Open Tennis Championship 2026 yang dijadual berlangsung dari 28 Julai hingga 2 Ogos ini di Pusat Tenis Negara (NTC), Jalan Duta.

Penajaan ini mencerminkan usaha berterusan ShekhinahPR dalam menyokong pembangunan bakat muda serta menyediakan lebih banyak platform kompetitif untuk atlet muda negara mengasah potensi mereka.

Sejak ditubuhkan pada 2011, ShekhinahPR berkembang seiring dengan landskap sukan Malaysia melalui penglibatan aktif dalam pelbagai acara sukan tempatan dan antarabangsa menerusi bidang komunikasi strategik, perhubungan awam dan pengurusan jenama.

Dalam masa sama, syarikat itu turut memainkan peranan penting dalam pembangunan sukan akar umbi menerusi pelbagai inisiatif pembangunan belia.

Antara usaha yang dijalankan termasuk menyokong program pembangunan badminton junior Rawang BC selama sedekad, bekerjasama dengan SK Lemoi di Cameron Highlands selama tujuh tahun bagi memperluaskan penglibatan pelajar Orang Asli dalam sukan, selain menyalurkan tajaan peralatan sukan kepada 40 sekolah di Pulau Pinang menerusi kerjasama dengan kerajaan negeri.

Ketua Pegawai Eksekutif ShekhinahPR, Dato’ Christopher Raj (kiri), dan Presiden Persatuan Lawn Tennis Malaysia (Tennis Malaysia), Mirzan Mahathir, pada majlis penajaan Kejohanan Jemputan Beregu Campuran Remaja ShekhinahPR bersempena Kejohanan Tenis Terbuka CIMB Kuala Lumpur 2026.

Ketua Pegawai Eksekutif ShekhinahPR, Dato’ Christopher Raj berkata ulang tahun ke-15 syarikat itu bukan sekadar simbol kejayaan organisasi, tetapi juga ruang untuk menilai impak yang telah diberikan kepada pembangunan sukan negara.

“Ulang tahun ke-15 ini adalah satu pencapaian besar buat ShekhinahPR, tetapi yang lebih penting ialah peluang untuk kami melihat kembali peranan yang telah dimainkan dalam menyokong pertumbuhan sukan di Malaysia.

“Kami percaya pelaburan terhadap atlet muda adalah pelaburan untuk masa depan negara. Platform seperti ini penting untuk memberi pendedahan kompetitif, membina keyakinan serta membentuk mentaliti yang diperlukan untuk berjaya di peringkat tertinggi,” katanya.

Beliau turut menegaskan ShekhinahPR berbangga kerana dapat memainkan peranan dalam membantu pembangunan generasi atlet masa depan.

CIMB KL Open Tennis Championship 2026 dijangka menghimpunkan pemain-pemain tenis terbaik tempatan dan serantau, sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai antara kejohanan tenis paling berprestij di Malaysia.

Penganjuran ShekhinahPR Junior Invitational Mixed Doubles pula dilihat melengkapkan fokus kejohanan terhadap pembangunan akar umbi dengan menyediakan platform berkualiti kepada pemain muda untuk bersaing di pentas kompetitif.

Selari dengan sambutan ulang tahun ke-15, ShekhinahPR menegaskan komitmen mereka untuk terus bekerjasama dengan badan sukan, organisasi serta komuniti dalam memperluaskan peluang pembangunan atlet dan memacu pertumbuhan ekosistem sukan negara.