SKUAD MLBB lelaki negara berjaya membawa pulang pingat perak dalam acara Mobile Legends: Bang Bang selepas tewas 0-4 kepada Filipina di perlawanan Grand Final sebentar tadi di Sukan SEA 2025 yang berlangsung di Bangkok, Thailand. 

Malaysia mara ke perlawanan akhir selepas menewaskan beberapa pasukan kuat seperti Myanmar dan Thailand di peringkat kalah mati, namun pasukan Filipina terus kekal dominan dan mengekalkan rekod cemerlang mereka dalam e-sukan MLBB. 

Skuad lelaki negara yang beraksi di temasya kali ini terdiri daripada barisan terkenal termasuk tiga pemain daripada SRG.OG iaitu Sekysss, Stormie, dan Yums, serta dua pemain daripada Todak iaitu Loleal dan Momo. 

Walaupun keputusan di final tidak berpihak kepada Malaysia, pencapaian tersebut tetap menjadi momen penting apabila pasukan negara berjaya mencatatkan pingat dalam kategori e-sukan yang semakin kompetitif di Asia Tenggara.

Penghargaan turut diberikan kepada pemain dan barisan kejurulatihan yang telah bekerja keras sepanjang persiapan dan kejohanan serta sokongan padu peminat di arena serta dalam talian juga dijadikan inspirasi utama oleh para pemain. 

Dengan pingat perak ini, Malaysia terus mengukuhkan rekod prestasi dalam e-sukan di pentas SEA Games, membuka peluang untuk lebih kejayaan di masa depan termasuk kejohanan antarabangsa yang lain.

Kredit Gambar : MPL Malaysia