PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) sekali lagi menerima tamparan hebat apabila Jawatankuasa Tatatertib Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengesahkan hukuman terhadap Malaysia susulan kes menurunkan pemain yang tidak layak dalam aksi antarabangsa Tier 1 sepanjang tahun ini.
Keputusan yang dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib FIFA pada 12 Disember 2025 itu mendapati FAM melanggar Artikel 19 Kod Tatatertib FIFA (Edisi 2025).
Hasilnya, Malaysia diisytiharkan kalah 3-0 bagi tiga perlawanan antarabangsa yang sebelum ini mencatatkan keputusan positif di atas padang, iaitu aksi menentang Cape Verde yang berakhir seri 1-1 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada 29 Mei, kemenangan 2-1 ke atas Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 4 September serta kemenangan 1-0 ke atas Palestin di Stadium Sultan Ibrahim pada 8 September lalu.
Selain keputusan perlawanan dipadam, FAM turut dikenakan denda sebanyak CHF10,000, bersamaan kira-kira RM51,414, sekali gus menambah tekanan terhadap badan induk bola sepak negara yang kini berdepan krisis keyakinan penyokong.
Dalam perkembangan sama, FAM memaklumkan akan mengemukakan permohonan bertulis kepada FIFA bagi mendapatkan alasan penuh di sebalik keputusan Jawatankuasa Tatatertib sebelum mempertimbangkan langkah seterusnya. Hukuman terbaharu ini dijangka memberi kesan besar terhadap reputasi bola sepak negara, selain menguatkan tuntutan agar pembaharuan menyeluruh dilakukan bagi mengelakkan kesilapan pentadbiran berulang pada masa hadapan.