KUALA Lumpur City FC berjaya menggunakan kelebihan bermain di laman sendiri setelah menundukkan Penang FC 1 – 0 pada aksi kedua pusingan 16 Piala Malaysia di Stadium KLFA , Cheras.
Biarpun bermain di laman sendiri, KL City dilihat agak gugup pada separuh masa pertama apabila pasukan pelawat, Penang FC berjaya melakukan beberapa percubaan merbahaya ke kubu tuan rumah.
Bagaimanapun, KL City agak bernasib baik kerana beberapa percubaan yang dihasilkan Nik Akif Syahiran dan Hassan Saad sedikit tersasar ke luar gawang gol tuan rumah.
Ditambah pula dengan Giancarlo Galifuoco yang dilayangkan kad merah pada awal babak pertama, jelas merencatkan sedikit pergerakan pasukan tuan rumah.
Bermula babak kedua, KL City berjaya memperkemas asakan dan hasilnya Tchetche Kipre berjaya memecah kebuntuan dengan jaringan tunggal pada minit ke-70.
Tchetche Kipre hampir menambah derita pelawat pada minit ke-85 namun percubaannya tepat ke dakapan penjaga gol Penang FC.
Kedudukan tersebut kekal sehingga wisel penamat menyaksikan The City Boys melakar kemenangan bergaya ke atas Penang FC 1-0 sekaligus menjadikan agregat 5-0.