SELEPAS kemenangan 2-1 ke atas Perak FC dalam aksi Liga Super di Manjung, Selangor FC kini mengalihkan fokus mereka kepada perlawanan suku akhir kedua Piala Cabaran menentang Kelantan Darul Naim (KDN) FC yang dijadualkan berlangsung pada 22 Disember ini.
Jurulatih Selangor FC, Kinoshi Katsushito, menegaskan bahawa pasukan perlu terus memberikan komitmen terbaik dalam usaha merebut tempat ke separuh akhir.
“Kita perlu belajar daripada setiap perlawanan dan bersedia menghadapi cabaran baharu. Fokus kami kini adalah untuk memastikan pasukan berada dalam keadaan terbaik menjelang perlawanan suku akhir nanti,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Gergasi Merah juga akan memantau keadaan beberapa pemain yang mengalami kecederaan dalam perlawanan sebelum ini bagi memastikan mereka cergas untuk aksi penting itu.
Perlawanan ini dijangka menjadi ujian sengit buat Selangor FC, namun semangat juang yang ditunjukkan pasukan memberikan harapan kepada para penyokong.
Kelab Lembah Klang itu dilihat sudah selangkah ke separuh akhir selepas membenam cabaran KDN FC 1-5 dalam aksi suku akhir di Stadium MBPJ, Kelana Jaya minggu lepas.
FOTO : SELANGOR FC