MASIH skrip yang sama diluahkan Ketua Jurulatih Sri Pahang FC Datuk Dollah Salleh selepas tewas kepada Terengganu FC 2-4 dalam aksi timbal balik pusingan Piala Malaysia 2022 di Stadium Sultan Zainal Abidin pada Selasa malam.

Kekalahan itu menyaksikan Terengganu FC mara ke suku akhir penuh bergaya dengan mengumpul agregat 9-3.

Pastinya sukar skuad Tok Gajah itu mengejar Sang Penuh dengan jaringan yang besar pada aksi pertama sebelum ini, namun itulah realiti yang terpaksa ditelan Dollah.

Malah dengan skrip yang sama juga selepas perlawanan dengan mendedahkan kesilapan adalah daripada benteng pertahanan yang longgar sehingga lawan meraih gol awal.

“Kita datang sini memang kita nak bagi yang terbaik.

“Tapi masih buat kesilapan pada minit awal dan agak kucar-kacir dalam separuh masa pertama.

“Kita nak bangkit tapi dah terlambat. Cuma apa yang saya banggakan kita masih lagi tak putus asa dapatkan gol. Alhamdullilah dapat dua gol tapi kena terima hakikat bahawa Terengganu lebih teratur dan baik.

“Saya nampak bahagian pertahanan begitu longgar sekali khasnya apabila berdepan satu lawan satu mudah sangat lepaskan striker dari Terengganu. Itulah kelemahan,” jelasnya.

Dalam pada itu Dollah mengakui keadaan padang agak bertakung selepas hujan lebat melanda.

“Padang agak air bertakung, tapi Terengganu nampak tak ada masalah tapi kita masih tercari rentak… masih tak faham dengan bertakung.

“Pada separuh masa kedua baru faham mana mana nak main dalam air bertakung.

“Kat situ nampak Pahang tercari-cari cara bermain dengan bijak,” tambahnya.

Tersingkirnya Sri Pahang FC ini menyaksikan Terengganu FC bakal berdepan dengan Kuala Lumpur City FC  Ahad ini.