PENGENDALI Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner, mengakui barisan pemainnya trauma dengan kejadian samun dan pukul menimpa Akhyar Rashid sehingga menjejaskan prestasi pasukan
Menurutnya, kejadian itu memaksa Akhyar disisihkan buat sementara sekali gus mencetuskan kerisauan menjelang sepak mula musim baharu Liga Super, minggu depan.
Steinbruckner turut mengakui tidak pasti status kecederaan dialami pemain pinjaman Johor Darul Ta’zim (JDT) itu dan masa diperlukan untuk kembali dalam kesebelasan utama.

Pemain TFC seakan trauma insiden menimpa rakan sepasukan, Akhyar Khamis lepas.
“Kejadian ini sangat buruk membabitkan nyawa dan insiden jenayah atau keganasan seperti yang menimpa Akhyar tidak patut berlaku, saya harap tiada siapa akan melaluinya.
“Pemain lain menunjukkan reaksi bersimpati tetapi turut trauma ketika melawatnya di hospital sehingga keadaan sunyi sepi, tidak seperti selalu.
“Saya belum bercakap dengan Akhyar namun berharap dia akan kembali menyertai pasukan Isnin ini dan akan menilai tahap kecederaan serta emosinya,” jelasnya kepada FLASH SUKAN.

Kain rentang solidariti untuk Akhyar.
Beliau ditemui selepas menyaksikan skuad kendaliannya beraksi di bawah kemampuan sebenar apabila seri 0-0 dengan Kelantan Darul Naim (KDN) dalam aksi persahabatan, malam tadi.
Katanya, pemain TFC seolah-olah terganggu dengan kejadian menimpa rakan sepasukan mereka itu sehingga gagal menunjukkan prestasi terbaik dan hilang punca dalam perlawanan tersebut
“Mereka memberitahu semua dalam keadaan baik selepas melawat Akhyar tetapi apa yang saya lihat adalah sebaliknya.
“Jadi saya perlu mencari jalan sebelum bertemu Perak pada 11 Mei nanti iaitu memperkemaskan serangan selain terus memberi semangat kepada pemain,” jelasnya.