DI sebalik pengumuman First Instance Body (FIB) mengenai keputusan Lesen AFC kitaran 2024-2025, Terengganu FC tampil menjelaskan pendirian mereka yang tidak meneruskan permohonan lesen tersebut atas sebab yang strategik — bukan kerana kegagalan atau kekurangan syarat.

Menerusi kenyataan media rasmi kelab, Terengganu menjelaskan bahawa mereka telah memaklumkan kepada Malaysian Football League (MFL) untuk menarik diri daripada proses permohonan lesen AFC lebih awal sebelum tarikh akhir. Ini kerana dua slot ke kejohanan peringkat Asia iaitu AFC Champions League Elite dan AFC Champions League 2 telah hampir pasti menjadi milik Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC berdasarkan kedudukan Liga Super sebelum musim tamat.

Ketika itu, TFC berada di kedudukan ke-4 di belakang tiga pasukan teratas, JDT, Selangor dan Sabah. Namun hanya dua kelab teratas sahaja diberikan tiket ke pentas Asia, dengan Sabah serta kelab lain yang memiliki lesen AFC berada dalam senarai menunggu jika berlaku kegagalan lesen kepada pasukan utama.

Dengan senario tersebut, pihak pengurusan TFC membuat keputusan untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada lesen kebangsaan yang perlu diselesaikan sebelum 30 April 2025, lesen yang penting untuk memastikan kelab kekal bersaing dalam Liga Super bagi musim 2025/2026.

Tambahan pula, kejohanan ACC Shopee Cup yang bakal berlangsung tidak mensyaratkan kelab memiliki lesen bertaraf AFC, sekali gus membolehkan TFC terus bertanding di peringkat domestik dan serantau tanpa sekatan.

Musim 2024 menyaksikan TFC menamatkan kempen di tangga kelima Liga Super, satu peningkatan berbanding musim lalu (ke-6), selain dua kemunculan berturut-turut di pentas separuh akhir Piala FA dan Piala Malaysia. Ini menjadi petanda positif buat skuad Penyu untuk membina momentum ke arah saingan musim 2025/2026 dan seterusnya mencabar semula slot Asia secara merit.

Pihak pengurusan TFC turut menyeru agar penyokong memahami keputusan ini dan terus memberikan sokongan dalam perjuangan kelab. Fokus kini adalah memastikan kelab terus stabil, bersaing dengan lebih kompetitif dan kembali mengintai peluang ke pentas Asia pada musim akan datang — kali ini dengan persiapan yang lebih kukuh.