SIAPA sangka, keputusan taktikal yang mengejutkan pada awal musim akhirnya membuka ruang kepada Paulo Josue untuk melakar sejarah bersama KL City FC dan bola sepak tempatan.

Kapten berpengaruh Kuala Lumpur City FC itu bukan sahaja berjaya menyesuaikan diri sebagai penyerang, malah kini menjadi antara calon utama untuk gelaran Penyerang Tempatan Terbaik di Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2024-2025 (ABK24-25).

Ditugaskan di posisi penyerang oleh jurulatih Miroslav Kuljanac pada awal musim, Josue mengakui beliau pada mulanya kecewa dan tidak bersetuju dengan keputusan tersebut. Baginya, tiada sebab kukuh untuk ditolak keluar daripada posisi asal.

Namun, rasa marah itu segera bertukar menjadi motivasi – dan hasilnya, Josue kini mencatat 17 gol dalam kempen Liga Super, sekaligus bergelar penjaring kedua terbanyak liga musim ini.

Josue calon utama untuk gelaran Penyerang Tempatan Terbaik di Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2024-2025 (ABK24-25).

Lebih manis, Josue turut menewaskan rekod legenda Singapura, Fandi Ahmad, sekali gus dinobatkan sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman KL City.

Pemain berdarah Brazil yang kini naturalisasi Malaysia itu juga akan bersaing rapat dengan dua penyerang kebangsaan lain, Romel Morales dan Darren Lok, dalam kategori yang cukup berprestij di ABK24-25 yang bakal berlangsung pada malam ini.

Apa yang menjadikan pencalonan Josue istimewa ialah fakta bahawa siapa sahaja antara tiga calon yang menang akan mencatat sejarah sebagai penyerang bukan Melayu pertama memenangi anugerah tersebut sejak Liew Kit Kong pada musim 2007-2008.

Kapten fantastik, Paulo Josue

Dalam dunia bola sepak Malaysia yang semakin inklusif, ini satu penanda kematangan bola sepak tempatan dalam mengenal bakat – tanpa mengira asal-usul.

Kini, Josue tidak lagi melihat posisi penyerang sebagai beban, tetapi sebagai peluang untuk terus menyinar dan membantu pasukan.

Malah, dalam skuad kebangsaan pun, beliau sering diturunkan sebagai penyerang – dan dia menerimanya dengan hati terbuka demi memberikan yang terbaik untuk negara.

Paulo Josue mungkin tidak pernah meminta untuk jadi penyerang. Tapi kini, dia bukan saja menyerlah — dia sedang mendaki puncak legenda bola sepak Malaysia.