PASUKAN Kedah Darul Aman FC terus dihimpit isu luar padang apabila gagal memperoleh Lesen Pelesenan Kelab AFC untuk kitaran 2024-2025, sekali gus tidak layak untuk beraksi dalam saingan peringkat Asia musim 2025-2026.
Keputusan itu diumumkan Jawatankuasa First Instance Body (FIB) selepas mesyuarat ke-10 yang berlangsung di Wisma FAM baru-baru ini.
Daripada enam kelab Liga Super yang memohon lesen, hanya Johor Darul Ta’zim FC, Selangor FC, Sabah FC dan Penang FC yang berjaya mendapat kelulusan, manakala Kedah FC serta Terengganu FC gagal memenuhi kriteria yang ditetapkan.

Musim ini Pemain-pemain Kedah dilihat kurang bersemangat kerana dihimpit masalah dalaman kelab yang makin meruncing
Apa yang lebih mengejutkan, kegagalan KDA FC ini berlaku dalam keadaan kelab itu dikaitkan dengan tunggakan gaji yang mencecah hampir RM7 juta. Krisis kewangan yang berlarutan bukan sahaja menggugat reputasi kelab, malah turut menjejaskan nasib pemain import seperti Milos Gordic yang kini meninggalkan Malaysia dengan tangan kosong.
Gordic, penyerang berusia 32 tahun yang menyertai Kedah musim ini, sebelum ini mengalirkan air mata apabila mendedahkan kepada media bahawa dia bakal pulang ke negaranya tanpa sebarang bayaran gaji.
Situasi ini nyata membayangkan betapa seriusnya masalah yang sedang membelenggu Sang Kenari, sekali gus menjadi antara faktor utama kegagalan mereka mendapatkan lesen daripada AFC.

pemain import KDA FC Milos Gordic yang kini meninggalkan Malaysia dengan tangan kosong.
Dalam masa sama, FIB turut mengucapkan penghargaan kepada Kedah dan Terengganu atas usaha mereka untuk melengkapkan proses lesen, namun menegaskan bahawa hanya kelab yang benar-benar memenuhi kriteria ditetapkan yang akan diberi kelulusan.
FIB turut berharap lebih banyak kelab akan mengambil serius aspek pelesenan bagi memastikan daya saing Liga Super Malaysia terus terpelihara.
Dengan pentas Asia terus menjauh dan pemain-pemain pula mula mengeluh, masa depan Kedah kini bergantung sepenuhnya kepada keupayaan pengurusan untuk menyelesaikan kemelut kewangan yang semakin memburuk.
Jika tidak ditangani segera, Sang Kenari bukan sahaja akan terus ketinggalan di peringkat domestik, malah berisiko kehilangan kepercayaan pemain, penyokong dan juga pihak berkuasa bola sepak tanah air.