KETUA jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio, memuji komitmen dan usaha pasukannya selepas berjaya meraih kemenangan tipis 1-0 ke atas Terengganu FC dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Bidin, hasil jaringan tunggal Juan Muniz pada minit ke-13.

Kemenangan tersebut semakin mendekatkan Harimau Selatan kepada kejuaraan Liga Super musim ini.

“Kami tahu perlawanan ini akan berbeza dan sukar. Tetapi saya fikir pasukan bermain dengan baik, para pemain memberikan 100 peratus.

“Walaupun padang kurang memuaskan, mereka tetap cuba menggerakkan bola dari sisi ke sisi. Tiga mata ini sangat penting buat kami,” ujar Bidoglio selepas perlawanan.

Dengan hanya dua kemenangan lagi dalam Liga Super, JDT kini berada di landasan terbaik untuk mempertahankan kejuaraan mereka kali ke-11.

Bidoglio bagaimanapun menekankan bahawa fokus pasukan bukan sekadar memenangi kejuaraan awal tetapi juga untuk terus memperbaiki mutu permainan.

“Bagi kami, yang paling penting adalah terus berkembang. JDT merupakan kelab besar dan kini menjadi perhatian dunia.

“Oleh itu, kami perlu menunjukkan peningkatan setiap minggu, mempamerkan falsafah bola sepak kami, dan membuktikan bahawa JDT semakin kuat,” tambahnya lagi.

Dalam masa yang sama, Bidoglio turut memberikan penghormatan kepada pemilik kelab, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, atas dedikasi dan komitmen beliau dalam membangunkan JDT ke tahap tertinggi.

“Tunku Ismail sentiasa bekerja keras untuk memperbaiki JDT. Dia sentiasa mencari kata-kata yang tepat untuk memberi motivasi kepada pemain dan staf.

“Kami memikul tanggungjawab besar untuk memastikan kelab terus maju,” katanya.

Menjelang aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia menentang Terengganu pada 1 Februari di Stadium Sultan Ibrahim, JDT kini berada dalam kedudukan selesa selepas membawa bekalan kemenangan 4-0 dari perlawanan pertama.

Walaupun begitu, Bidoglio tidak mengambil mudah dan menjangkakan perlawanan yang mencabar di halaman sendiri.

“Ini adalah perlawanan yang penting dan sukar. Kami akan bekerja keras minggu ini dan mungkin membuat beberapa perubahan dalam barisan pemain kerana kami mempunyai skuad yang sangat baik,” jelas Bidoglio.

Dengan kelebihan yang dimiliki, JDT bukan sahaja berada di ambang mara ke final Piala Malaysia tetapi juga mengukuhkan lagi dominasi mereka dalam arena bola sepak tempatan.

Semua mata kini tertumpu ke arah Harimau Selatan untuk meneruskan prestasi cemerlang mereka.