PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) merakamkan penghargaan tinggi kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail (TMJ), Pemangku Sultan Johor atas sentuhan luar biasa baginda dalam merevolusikan pasukan Harimau Malaya sehingga mencetuskan impak besar, termasuk kemenangan bergaya 4-0 ke atas Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa lalu.
Presiden FAM, Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub menyifatkan kemenangan itu bukan sahaja bermakna kerana berjaya menamatkan penantian 11 tahun menewaskan Vietnam, malah menjadi bukti hala tuju baharu skuad kebangsaan di bawah inisiatif TMJ mula menampakkan hasil.
“Junjung kasih kepada Tunku Mahkota Ismail yang sentiasa prihatin serta memberikan sokongan dan bantuan kepada FAM dalam usaha meningkatkan lagi prestasi skuad Harimau Malaya.

Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail (TMJ), Pemangku Sultan Johor dan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim serta Kerajaan Malaysia merupakn tulang belakang kebangkitan revolusi Harimau Malaya. FOTO:TMJ
“Apa yang boleh saya katakan, kejayaan ini satu permulaan yang cukup positif buat pasukan Harimau Malaya dan bola sepak Malaysia secara keseluruhannya,” kata Datuk Mohd Joehari dalam kenyataannya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM di Wisma FAM, Khamis.
Joehari turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Malaysia atas peruntukan kewangan yang memperkasakan pasukan negara, termasuk membantu mempercepatkan proses dokumentasi pemain warisan yang menyinar dalam aksi menentang Vietnam.
Katanya, semangat penyokong Harimau Malaya turut menjadi faktor penting, khususnya kehadiran semula Ultras Malaya yang menghidupkan suasana luar biasa di Bukit Jalil, menjadi ‘pemain ke-12’ yang menyuntik motivasi kepada skuad negara.
Kejayaan ini menandakan permulaan baharu yang lebih meyakinkan buat Harimau Malaya menuju kempen Piala Asia 2027 dan kelayakan Piala Dunia 2026, dengan harapan besar untuk terus mengukir nama sebagai kuasa baharu bola sepak Asia Tenggara.