KELAB Liga Super Brunei, Indera SC mendapat suntikan semangat menjelang musim baharu 2025-2026 selepas menerima tajaan pakaian rasmi dari jenama barangan sukan Malaysia, Forfit.

Indera SC yang kini di bawah kendalian pelatih Malaysia, Raja Isa Raja Akram Shah berjaya menarik minat penaja-penaja antarabangsa sekaligus bakal memberikan peluang untuk bersaing lebih baik dalam liga.

Tajaan pakaian rasmi kelab bernilai RM80,000 (BND 24,300) selama setahun dari Forfit bakal membawa lembaran baharu kerjasama antara jenama dari Malaysia dan kelab-kelab dari Brunei Darussalam.

Kejayaan Raja Isa membawa Indera SC muncul naib juara Piala FA Brunei membuka mata Forfit untuk menjadi penaja sekaligus membuka pasaran baharu di negara tersebut.

Pengarah Forfit, Muhammad Fikri Nizam gembira dengan kerjasama ini dan melihat kehadiran Raja Isa serta potensi yang ada pada Indera SC mendorong mereka sebagai penaja selain meluaskan empayar perniagaan ke negara serantau.

“Kerjasama ini diharap membantu meningkatkan kredibiliti Forfit dan Indera SC di mata peminat bola sepak rantau ini selain daripada memartabatkan hubungan bola sepak di antara dua negara iaitu Malaysia dan Brunei.

Tajaan pakaian rasmi kelab bernilai RM80,000 (BND 24,300) selama setahun dari Forfit bakal membawa lembaran baharu kerjasama antara jenama dari Malaysia dan kelab-kelab dari Brunei Darussalam.

“Dari sudut pemasaran jenama pula, kami melihat ini adalah potensi untuk membantu ekosistem bola sepak Brunei selain memperkasakan jenama dari Malaysia di luar negara.

“Penglibatan Raja Isa dan potensi kelab Indera SC ini untuk berkembang menarik minat kami menjadi penaja dan ini adalah permulaan kerjasama kami di Brunei,” katanya ketika Majlis Menandatangani Perjanjian di Kuala Lumpur.

Sementara itu, Indera SC menerusi Pengurus Pasukan, Pengiran Abdul Azim bin Pengiran Haji Othman pula menzahirkan rasa gembira menerusi kerjasama antarabangsa pertama ini yang dilihat mampu melonjakkan prestasi kelab pada musim baharu nanti.

“Menerusi kehadiran jenama antarabangsa bersama kami, ini adalah permulaan untuk musim yang lebih baik. Kami kini bersedia dengan wajah baharu untuk musim 2025-2026 ini,” jelasnya yang hadir ditemani ketua jurulatih, Raja Isa.

Hubungan bola sepak antara Malaysia dan Brunei kembali terjalin selepas DPMM FC disahkan bertanding sebagai salah satu kelab di Liga Super Malaysia dan impak positif sudah mula kelihatan dengan wujudnya kerjasama antara Forfit dan Indera SC ini.