PERLAWANAN kelayakan akhir Piala Asia AFC 2023 antara Malaysia dan Bahrain sememangnya mendapat perhatian dari seluruh peminat bola sepak tanah air dengan lebih 50,000 penyokong dijangka membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.
Di pentas bola sepak Asia, penyokong Malaysia sememangnya dikenali ramai sebagai antara penyokong paling fanatik yang memberikan atmosfera menakjubkan di stadium sekaligus menggerunkan pihak lawan.
Untuk perlawanan malam ini, pelbagai aktiviti penyokong telah dirangka untuk menghangatkan suasana perlawanan dengan perarakan raksasa atau corteo Ekor Harimau akan bermula seawal jam 3 petang.
Satu corteo akan diadakan dari hadapan pusat beli belah Sogo di Jalan Tuanku Abdul Rahman hingga ke Stesen LRT Masjid Jamek sebelum mereka semua akan menyambung ‘chant’ mereka di dalam tren.
‘Ekor on Train’ ini kembali diadakan selepas dua tahun dunia sukan terpaksa berdiam diri ekoran penularan pandemik Covid-19 tetapi hari ini ianya akan menjadi detik bersejarah buat penyokong Harimau Malaya.
Tidak cukup dengan itu, Ultras Malaya akan sekali lagi menggamatkan suasana dengan corteo yang bermula dari hadapan Stesen LRT Bukit Jalil hingga ke dalam stadium seawal jam 6.30 petang.
Ramai penyokong yang pastinya akan hadir lebih awal ke stadium kerana hari tidak bekerja dan pastinya mereka akan turut teruja dan boleh turut serta untuk memeriahkan suasana.
Di dalam stadium, kekuatan penuh Ultras Malaya dan penyokong Malaysia yang lain sudah tentu akan menaikkan semangat para pemain dan juga Ketua Jurulatih, Kim Pan Gon yang nyata teruja dengan sokongan daripada Ekor Harimau Sejati ini.
Buat para penyokong, ayuh berikan sokongan padu kepada pahlawan kita. Pastikan malam ini kita punya. Malam ini kita jadi saksi dan cipta sejarah kita layak ke Piala Asia secara merit. Ayuh Ekor Harimau, Ayuh Harimau Malaya.