TRIO pemanah wanita negara, yakin menyumbang satu pingat emas apabila mewakili negara di Sukan Sea Thailand, hujung tahun ini.

Ariana Nur Dania Mohamad Zairi berkata, keyakinan itu bersandarkan kemampuannya dan kekuatan dua lagi rakan meskipun menyedari bakal berdepan saingan sengit daripada negara lain.

Dia bersama Syaqiera Mashayikh dan Nurul Azreena Mohamad Fazil berada dalam program Fast Track, Road to Gold (RTG) mengakui, kelebihan tersenarai dalam program elit itu, akan dapat membantu dari segi meningkatkan keserasian serta latihan termasuk pendedahan kejohanan di luar negara.

“Untuk Sukan Sea 2025, kami mensasarkan untuk meraih pingat. Saya tidak rasa ia mustahil kerana pasukan kami agak kuat. Tidak banyak beza dengan pasukan negara lain, cuma kami belum capai tahap mereka lagi.

Ariana (kiri) dan Azreena menandatangani komitment LOC, sebagai pengesahan menyertai program Fast Track, Road to Gold (RTG) 2025.

“Jadi, dengan adanya bantuan daripada RTG dan program Fast Track, kami mendapat sokongan yang lebih baik. Contohnya, kami sudah nampak banyak peningkatan dalam latihan serta kejohanan di luar negara. Kami rasa kami boleh dapat pingat,” katanya, yang turut menetapkan matlamat berada dalam ranking Top10 memanah berpasukan wanita dunia.

Biarpun masih muda, trio pemanah wanita negara ini berpengalaman beraksi di pentas tertinggi seperti Sukan Olimpik Paris 2024.

Indonesia bakal menjadi pencabar terkuat kepada trio neara ini memandangkan trio negara tetangga berada di ranking berpasukan yang lebih tinggi.