WALAUPUN berjaya menundukkan Afrika Selatan 4-2 dalam aksi penentuan tempat ke-5 hingga ke-8 Piala Negara-Negara 2024/2025, ketua jurulatih skuad hoki negara, Sarjit Singh tetap menganggap prestasi anak buahnya masih belum cukup memuaskan. Beliau menyifatkan separuh masa pertama agak goyah, namun memuji semangat pemain yang berjaya bangkit selepas kekecewaan gagal mara ke separuh akhir.
“Prestasi hari ini tidak cukup bagus walaupun kita menang. Separuh masa pertama agak goyah tapi kita manfaatkan peluang yang ada. Selepas apa yang berlaku sebelum ini, dengan kegagalan ke separuh akhir akibat perbezaan jaringan, bukan mudah untuk bangkit. Tapi saya beri kredit kepada pemain kerana mereka tampil dan dapat tiga mata yang kami perlukan,” kata Sarjit selepas perlawanan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil petang Jumaat.
Speedy Tigers mempamerkan keseimbangan dalam serangan apabila bukan sahaja bergantung kepada pukulan sudut penalti (PC), malah turut menjaringkan gol padang. Namun Sarjit menegaskan pasukan masih perlu memperbaiki aspek disiplin di saat-saat akhir permainan, yang hampir membawa padah jika Afrika Selatan berjaya menjaringkan gol ketiga.
“Kita tak boleh buat kesilapan mudah di penghujung perlawanan. Kalau mereka dapat gol ketiga dan skor jadi 4-3, tekanan pasti lebih tinggi. Mujur kita ada kelebihan dua gol. Pemain perlu lebih tenang dan fokus untuk keluarkan bola dari kawasan D.”
Mengulas prestasi yang tidak konsisten di awal dan akhir permainan, Sarjit menjelaskan tekanan menjaga kelebihan jaringan menjadi cabaran utama. “Kalau kita hanya mendahului satu gol, ia amat berisiko. Bila pasukan lawan mula menekan, kita pula cemas hendak pertahankan kelebihan. Tapi pemain berjaya kekalkan pertahanan dengan baik hari ini.”

FOTO:MHC
Malaysia bakal berdepan Wales esok dalam perebutan tempat kelima. Sarjit menyifatkan perlawanan itu penting bagi menutup kempen dengan nota positif, apatah lagi Wales turut diperkuat beberapa pemain Great Britain.
“Wales semakin meningkat dan mereka bukan pasukan yang mudah. Tapi tempat kelima sangat penting untuk kami. Pemain kena segera pulih kerana masa rehat singkat. Kita ada pasukan fisio dan urut yang akan bantu pemain jalani pemulihan dengan segera.”