Gambar: FIH

SKUAD hoki lelaki negara, Speedy Tigers mencatat keputusan positif apabila berjaya mengikat pasukan ranking ke-9 dunia, Perancis 3-3 dalam aksi Kumpulan B Piala Dunia Hoki 2026, hari ini.

Beraksi sebagai pasukan ranking ke-14 dunia, Malaysia terlebih dahulu menunjukkan keberanian apabila membuka tirai jaringan menerusi Shello Silverius pada minit kelima.

Jaringan padang Shello memberikan Malaysia permulaan positif sebelum Perancis, yang turun sebagai pasukan pilihan, menyamakan kedudukan menerusi pukulan penalti Victor Charlet.

Kedua-dua pasukan kemudian saling mengasak, namun tiada jaringan tambahan berjaya dihasilkan sehingga tamat separuh masa pertama untuk menyaksikan kedudukan kekal 1-1.

Perancis kembali di hadapan pada minit ke-37 apabila Louis Haertelmeyer menyudahkan peluang menerusi gol padang untuk menewaskan penjaga gol Malaysia, Zaimi Mat Deris.

Namun, Speedy Tigers enggan mengalah dan sekali lagi menunjukkan semangat juang tinggi apabila Shello menyamakan kedudukan menerusi pukulan penalti pada minit ke-45.

Malaysia kemudian melengkapkan kebangkitan apabila Akhimullah Anuar Esook meletakkan negara di hadapan pada minit ke-56, sebelum Noe Jouin menyamakan kedudukan buat Perancis tiga minit kemudian.

Dalam aksi dramatik menuju penghujung permainan, Malaysia menyangka sudah mencipta kemenangan selepas Fitri Saari meledakkan gol pada minit ke-59, namun jaringan berkenaan dibatalkan.

Keputusan 3-3 kekal sehingga wisel penamat, sekali gus menyaksikan Malaysia mengutip satu mata berharga ketika berdepan pasukan yang mempunyai kedudukan ranking lebih tinggi.

Malaysia kini mengumpul satu mata daripada dua perlawanan Kumpulan B selepas sebelum ini tewas kepada juara bertahan, Jerman. Skuad kendalian Brendan Carolan seterusnya berdepan cabaran paling getir apabila dijadual menentang tuan rumah merangkap pasukan nombor satu dunia, Belgium pada 20 Ogos ini.