Malaysia tidak lagi mempunyai wakil dalam acara perseorangan lelaki di Kejohanan Badminton Asia (BAC) selepas Justin Hoh turut tersingkir seawal pusingan pertama di Ningbo, China, hari ini.
Pemain ranking ke-40 dunia itu tewas kepada bintang muda Indonesia, Alwi Farhan dalam pertarungan tiga set 19-21, 21-14, 18-21 di Pusat Sukan Olimpik Ningbo.
Kekalahan tersebut menyaksikan Justin terus buntu menentang Alwi apabila tewas buat kali keempat berturut-turut, sekali gus menjadikan rekod pertemuan kini memihak pemain Indonesia itu 6-2.
Sebelum itu, seorang lagi wakil negara, Leong Jun Hao turut tersingkir selepas tewas kepada pemain nombor empat dunia dari Indonesia, Jonatan Christie dengan keputusan 13-21, 8-21.
Kegagalan dua tonggak utama tersebut menimbulkan kebimbangan menjelang saingan Piala Thomas 2026 yang dijadual berlangsung di Horsens, Denmark dari 24 April hingga 3 Mei ini.
Jun Hao dijangka menggalas peranan sebagai perseorangan pertama negara, manakala Justin sebagai perseorangan kedua dalam kempen tersebut.
Dalam perkembangan sama, pasangan beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun turut mengalami nasib serupa apabila tewas kepada pasangan China, He Ji Ting-Ren Xiang Yu 18-21, 18-21.
Kekalahan itu merupakan yang ketiga berturut-turut buat pasangan ranking keenam dunia tersebut ketika berdepan lawan sama.
Situasi ini dilihat sebagai isyarat awal buat pasukan negara untuk memperkemaskan persiapan menjelang cabaran lebih getir di pentas Piala Thomas nanti.