PASUKAN Johor Darul Ta’zim menerima suntikan moral menjelang final Piala Malaysia apabila tonggak utama, Arif Aiman Hanapi disahkan kembali berada dalam senarai pasukan selepas pulih daripada kecederaan hamstring.

Ketua jurulatih JDT, Xisco Muñoz bagaimanapun menjelaskan pemain sayap kebangsaan itu masih belum berada pada tahap kecergasan terbaik selepas berehat agak lama.

Menurut Xisco, kehadiran Arif tetap memberi nilai penting kepada pasukan walaupun pemain itu mungkin hanya diturunkan beberapa minit pada aksi menentang Kuching City FC.

“Kami gembira Arif kembali bersama pasukan. Kita akan lihat sama ada dia boleh bermain beberapa minit,” katanya pada sidang media praperlawanan.

Kepulangan Arif dilihat mampu menambah variasi serangan Harimau Selatan yang ketika ini tampil konsisten dalam semua pertandingan musim ini.

Pemain berusia 24 tahun itu sebelum ini terlepas beberapa aksi penting akibat kecederaan, namun kini kembali menjalani latihan penuh bersama skuad utama.

Arif merupakan antara tonggak paling berpengaruh JDT sejak beberapa musim lalu menerusi kelajuan, kreativiti dan kemampuan mencipta peluang di bahagian serangan.

Beliau mengalami kecederaan hamstring ketika perlawanan Malaysia menentang Nepal dalam kempen kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, November lalu sekaligus memaksanya untuk berehat panjang.

Kehadirannya pada final Piala Malaysia juga memberi kelegaan buat penyokong Harimau Selatan yang mahu melihat skuad kendalian Xisco tampil dengan kekuatan penuh dalam misi mempertahankan kejuaraan.