Kredit Gambar: MHC dan AHF
Empat edisi tanpa podium menjadi pembakar semangat Young Tigers untuk kembali mencabar kelompok terbaik apabila Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor (SOJC) 2026 membuka tirai di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru dari 17 hingga 24 Oktober ini.
Skuad Remaja Lelaki Kebangsaan itu hadir dengan keyakinan tersendiri apabila menghuni ranking remaja dunia ke-11, tertinggi dalam kalangan lima pasukan bertanding, mengatasi Pakistan (ke-12), Kanada (ke-16), Jepun (ke-17) dan China (ke-20).
Bagaimanapun, ketua jurulatih Nor Saiful Zaini Nasiruddin mengingatkan bahawa kedudukan ranking bukan jaminan kejayaan, terutama apabila berdepan Pakistan yang memiliki pemain berpengalaman di pentas antarabangsa.
Menurutnya, kekuatan sebenar lawan dan kematangan pemain yang dibawa setiap pasukan bakal menjadi faktor penentu dalam perebutan tempat di podium, meskipun kejohanan itu membabitkan pemain bawah 21 tahun (B21).
“Pakistan memang pasukan yang sangat kuat dan Kanada pula kita tak tahu siapa pemain B21 yang akan dibawa mereka. Mungkin pemain lebih matang, bukan 18 atau 19 tahun sahaja.
“Yang saya tahu Pakistan ada pemain mereka bermain di FIH Pro League. Namun, sudah tentu bila kita masuk, kita nak podium. Itu yang kita nak rancang dan menjadi sasaran kita,” katanya.
Misi itu hadir selepas prestasi Young Tigers dalam empat edisi terdahulu menyaksikan mereka menamatkan saingan di tempat keenam pada 2022, ketujuh pada 2023, keenam pada 2024 dan kelima tahun lalu.
Malaysia pernah menjulang gelaran juara pada edisi sulung SOJC pada 2011, sekali gus menjadikan kejohanan kali ini peluang untuk mengembalikan reputasi pasukan di pentas berkenaan.
Lebih penting, Young Tigers mahu menjadikan SOJC sebagai medan kebangkitan selepas terlepas peluang meraih pingat gangsa Piala Remaja Asia 2026 di Moqi, China bulan lalu apabila tewas 2-4 kepada Pakistan meskipun mendahului 2-0 dalam aksi penentuan tempat ketiga.
Walaupun kekecewaan itu masih segar, Malaysia sudah mengesahkan slot ke Piala Dunia Remaja 2027 di India selepas mara ke separuh akhir Piala Remaja Asia 2026, sekali gus menjadikan SOJC sebagai medan penting untuk memperkukuh pasukan dan memastikan Young Tigers bersedia sepenuhnya menghadapi cabaran di pentas dunia.
Sebaik tamat saingan di Johor Bahru, Young Tigers akan meneruskan persiapan dengan berlepas ke Chennai, India bagi menyertai kejohanan jemputan Piala Emas Murugappa 2026 dari 25 Oktober hingga 4 November ini.