PELUANG ke pusingan kalah mati kembali terbuka buat skuad hoki lelaki kebangsaan apabila bangkit pada perlawanan kedua kumpulan C, dengan kemenangan 3-2 ke atas Chile, dalam aksi di Stadium Hoki Birsa Munda, Rourkela, India.
Selepas tewas 0-4 kepada juara tiga kali Belanda pada aksi pembukaan kelmarin, kemenangan hari ini cukup penting untuk membuka semula slot playoff ke suku akhir buat anak buah A Arulselvaraj.
Malaysian Tigers perlu sekurang-kurangnya menamatkan saingan peringkat kumpulan di kedudukan ketiga bagi membolehkan mereka layak beraksi di aksi playoff, namun jika berada di kedudukan kedua, nasib buat pasukan negara dijangka lebih cerah untuk mendapatkan slot ke suku akhir.
Sementara itu, pada pertemuan dengan Chile berlangsung yang sengit dan mendebarkan, menyaksikan pasukan lawan terlebih dahulu di hadapan, apabila Juan Amoroso yang menyudahkan pukulan sudut penalti pada minit ke-20.
Malaysia kembali menyamakan kedudukan menerusi Muhammad Razie Rahim yang menyempurnakan penalti diperoleh pada minit ke-26.
Tiga minit kemudian, Chile kembali di hadapan menerusi gol padang yang disudahkan Martin Rodriguez sebelum skuad negara sekali lagi berjaya menyamakan kedudukan menerusi gol padang Mohamad Ashran Hamsani pada minit ke-41.
Norsyafiq Sumantri muncul wira negara apabila meledak gol kemenangan setelah menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-42 sekali gus memastikan tiga mata berharga menjadi milik Malaysia.
“Waktu saya mengambil pukulan sudut penalti, bola itu muntah ke arah saya, jadi saya fikir sejenak sebelum mengambil keputusan. Saya fikir, jika saya lepaskan pukulan terus akan berjaya ditahan penjaga gol jadi pusing ke belakang dan melepaskan pukulan kilas reverse,” kata Nursyafiq, yang menghadiahkan gol kemenangan pasukan negara.
Skuad negara akan melengkapkan aksi peringkat kumpulan menentang New Zealand di Stadium Kalinga Bhubaneswar, Khamis ini.