PERSEORANGAN lelaki profesional negara, Lee Zii Jia menegaskan dua kemenangan awal bukan alasan untuk berasa selesa menjelang aksi penting menentang Jepun dalam saingan Kumpulan B Piala Thomas 2026, esok.
Bekas juara All England 2021 itu menyifatkan pertemuan menentang Jepun sebagai ujian sebenar buat dirinya dan juga skuad negara.
“Saya bukan nak kata terlalu gembira dengan dua kemenangan ini kerana kita tahu tahap dua perlawanan ini macam mana, tetapi menentang Jepun nanti memang satu ujian untuk saya,” katanya kepada BWF.
Zii Jia percaya peluang kedua-dua pasukan adalah seimbang, namun tetap yakin dengan kemampuan rakan sepasukan untuk menghadapi cabaran tersebut.
“Saya rasa kedua-dua pasukan ada peluang, tetapi saya percaya kepada rakan sepasukan. Jika jurulatih meletakkan saya bermain, saya akan beri yang terbaik,” tambahnya.
Terdahulu, beliau menyumbang mata penting ketika Malaysia menewaskan Finland 4-1 serta membantu kemenangan 3-2 ke atas England, dengan aksi menentang Jepun bakal menentukan status juara kumpulan dan menjadi kayu ukur kekuatan sebenar skuad negara.