DATUK Amarjit Singh Gill terus mengukuhkan pengaruhnya dalam arena berbasikal negara apabila menang tanpa bertanding jawatan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia bagi penggal 2026-2030.

Kemenangan itu disahkan menerusi Mesyuarat Exco Khas PKBM di Bandar Baru Nilai selepas penutupan pencalonan tanpa sebarang cabaran, dengan beliau memenuhi semua syarat menjelang Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Ahad ini.

Kejayaan tersebut hadir selepas Malaysia cemerlang menganjurkan Kejohanan Trek Piala Dunia UCI 2026, sekali gus mengukuhkan kredibiliti kepemimpinan beliau.

“Ini satu penghormatan yang sangat besar kepada saya. Ia bermakna saya ada banyak kerja untuk dilakukan selepas ini,” katanya.

Beliau yang juga Presiden Konfederasi Berbasikal Asia dan Naib Presiden Kesatuan Berbasikal Antarabangsa bertekad menjadikan Malaysia sebagai hab penganjuran bertaraf dunia.

“Saya ingin membawa sukan berbasikal di Malaysia kepada satu tahap bertaraf dunia. Kejayaan menganjurkan Piala Dunia baru-baru ini adalah bukti kita mampu melakukannya,” katanya.

Sumber Gambar: FB Datuk Amarjit Singh Gill