BEREGU muda negara, Low Zi Yu dan Noraqilah Maisarah Ramdan mencuri tumpuan apabila melakar kejutan besar menewaskan pasangan ranking ketujuh dunia dari Jepun dalam aksi terakhir Kumpulan B Piala Uber 2026.

Walaupun Malaysia tewas 1-4 kepada Jepun, kemenangan pasangan muda negara itu ke atas Rin Iwanaga-Kie Nakanishi menjadi detik paling menonjol dalam perlawanan berkenaan.

Berstatus beregu ke-143 dunia, Zi Yu–Maisarah mempamerkan aksi berani apabila menguasai set pertama 21-17 ke atas lawan yang jauh lebih berpengalaman.

Mereka bagaimanapun dipaksa bekerja keras selepas tewas 12-21 pada set kedua sebelum bangkit dalam set penentuan.

Dalam pertarungan sengit, pasangan negara menunjukkan ketenangan untuk menamatkan perlawanan dengan kemenangan 21-19, sekali gus melakar antara kejutan terbesar dalam kempen kali ini.

Kemenangan itu memberi isyarat jelas mengenai potensi dimiliki gandingan muda negara untuk mencabar pasangan elit dunia pada masa akan datang.

Meskipun tidak mengubah keputusan keseluruhan perlawanan, kejayaan tersebut tetap menjadi suntikan moral penting buat skuad wanita negara.

Malaysia bagaimanapun tetap melangkah ke peringkat suku akhir hasil dua kemenangan awal ke atas Turkiye dan Afrika Selatan.

Pencapaian itu turut menamatkan penantian 16 tahun skuad wanita negara untuk kembali ke kelompok lapan terbaik dunia.