KEJOHANAN Ragbi MCKK Premier 7’s edisi ke-13 membuka tirai dengan penuh bergaya apabila beberapa pasukan pilihan tampil garang dalam aksi hari pertama yang berlangsung di padang keramat Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) hari ini.

SMK Hosba mencuri tumpuan apabila membelasah MRSM Balik Pulau 34-5 dalam aksi pembukaan, menandakan hasrat mereka untuk menjadi pencabar serius Piala NJ Ryan musim ini. Tuan rumah, MCKK pula tidak mengecewakan penyokong sendiri apabila menumpaskan INTEK Kuantan 31-0 dalam aksi dominan dari wisel permulaan hingga tamat.

Turut menampilkan aksi meyakinkan ialah SMKTHO Kluang yang mempamerkan kekuatan fizikal dan penyudah tajam untuk membenam SMK Sheikh Haji Othman Abdul wahab (SHOAW) 45-5, menjadikan mereka antara pasukan yang perlu diberi perhatian menjelang aksi hari kedua.

Pasukan bersejarah King Edward VII turut bermula cemerlang apabila menang tipis 17-10 ke atas Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Sirajuddin (SEMSIRA), manakala Maktab Sultan Abu Bakar atau English College (EC) dari Johor Bahru berjaya mengatasi cabaran sengit daripada STAR Ipoh dengan kemenangan 17-7.

Pertembungan paling dramatik menyaksikan (Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor) SEMASHUR dan Sekolah Menengah Kebangsaan Telok Mas terikat seri 17-17 — satu keputusan yang membuktikan betapa kompetitifnya kejohanan edisi kali ini.