Select Page

“Hashim Mustapha tegas dalam padang, luar padang sentiasa senyum” – Matlan Marjan

“Hashim Mustapha tegas dalam padang, luar padang sentiasa senyum” – Matlan Marjan

PEMERGIAN legenda bola sepak Kelantan, Mohd Hashim Mustapha sememangnya terkesan di hati rakyat Malaysia termasuk rakan-rakan yang terkesan dengan pemergian mengejut Allahyarham.

Berita tersebut turut mendapat reaksi duka dari legenda pasukan Sabah, Matlan Marjan yang merupakan rakan karibnya di dalam dan luar padang.

Dengan nada sebak, Matlan menjelaskan keperibadian Hashim Mustapha yang sangat sinonim dengan senyumannya jelas meninggalkan kesan dan kehilangan kepada rakan-rakannya serta bola sepak Kelantan.

“Arwah ini seorang yang memang baik. Dia sentiasa senyum walaupun dalam padang dia tegas. Saya rasa ia satu kehilangan besar terutama buat bola sepak di Kelantan.

“Saya dengan dia pernah dalam satu skuad pada suatu ketika dahulu. Dia boleh dikatakan alim dan sentiasa senyum. Kali terakhir saya berjumpa dia dalam satu Kejohanan UMNO sebelum Covid-19.

ARTIKEL BERKAITAN : Bekas pemain Kelantan Hashim Mustapha meninggal dunia

“Saya dengan dia bermain di posisi penyerang dalam skuad kebangsaan. Dia tegas di dalam padang tetapi di luar padang dia memang sentiasa senyum. Senyumannya memang satu sedekah. Dia tidak sombong,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN.

Biarpun sebelum ini, umum mengetahui bahawa kakinya akan dipotong kerana urat saraf di kakinya sudah tidak berfungsi serta komplikasi kencing manis, namun tidak menjangkakan arwah pergi begitu pantas.

“Kita dalam group WhatsApp pun dia ada membuat hantaran bahawa kakinya akan dipotong. Tapi lama sudah tidak jumpa. Urat saraf di kakinya sudah tidak berfungsi. Dia memang ada kencing manis sebelum ini.

“Selepas dia dibedah pun dia sentiasa senyum, jadi kita pun bersyukur dia sudah pulih seperti biasa.

“Dua minggu lepas dia masuk balik dan diberitakan terus koma dan strok. Kelmarin malam, dalam pukul 10 lebih saya terima berita dia telah meninggal dunia,” jelasnya.

Di era kegemilangannya, Hashim Mustapha dianugerahkan kasut emas setelah merekodkan 29 gol dalam 30 perlawanan sewaktu bermain di Liga Premier pada 1994.

Allahyarham membuat debut bersama skuad kebangsaan pada Sukan SEA 1987 yang menyaksikan dia berjaya menyumbang satu gol ketika Malaysia menang 2-0 mengatasi Thailand di peringkat separuh akhir.

Pada Selasa, Mohd Hashim menghembuskan nafas terakhir pada usia 56 tahun kira-kira pukul 10.26, Selasa di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan.

Video Terkini

Loading...