Harimau Malaya berpeluang mengembalikan keyakinan pasukan apabila berdepan Yemen dalam aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Zhaoqing New District Sports Centre, Guangdong, China, esok.
Ketua jurulatih interim, Tan Cheng Hoe melihat perbezaan kedudukan dalam ranking dunia antara kedua-dua pasukan sebagai dorongan tambahan buat anak buahnya untuk bangkit selepas tewas 0-2 kepada China, Sabtu lalu.
Malaysia kini menghuni tangga ke-135 dunia, manakala Yemen berada di kedudukan ke-147 berdasarkan Ranking Dunia Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Bagaimanapun, Cheng Hoe menegaskan kedudukan tersebut bukan sesuatu yang perlu membebankan pemain, sebaliknya menjadi motivasi untuk mereka terus memberikan aksi terbaik.
“Ya, kedudukan itu bukan memberi tekanan kepada kami, sebaliknya memberi kami motivasi untuk kekalkan keputusan yang memihak kepada pasukan.
“Saya rasa, rata-rata pemain juga ingin menebus kekalahan menentang China tempoh hari dan ini adalah peluang terbaik kami untuk mendapatkan semula keyakinan kepada pasukan nanti,” katanya menerusi rakaman video dikongsi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kepada media hari ini.
Beliau turut memaklumkan semangat pemain yang sedikit terjejas selepas kekalahan kepada China semakin menunjukkan perkembangan positif selepas menjalani sesi pemulihan dan persiapan menjelang perlawanan.
“Kami berharap pasukan akan menutup kalendar 2026 dengan mencatat keputusan terbaik menentang Yemen,” katanya.
Dalam perkembangan lain, status pemain pertahanan Dominic Tan masih belum dapat dipastikan selepas mengalami kecederaan otot ketika aksi menentang China.
Cheng Hoe turut mempunyai beberapa pilihan untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Fergus Tierney yang dilayangkan kad merah selepas mengutip dua kad kuning dalam perlawanan tersebut.
Tiga pemain yang sedang dipertimbangkan ialah Romel Morales, Paulo Josue dan Muhammad Syafiq Ahmad.