KETUA pasukan Harimau Malaya, Dion Cools, tampil memberikan pandangan jujurnya mengenai rekaan jersi baharu skuad kebangsaan yang dihasilkan oleh jenama sukan terkenal, PUMA.

Jersi tersebut dilancarkan susulan kerjasama selama empat tahun yang dimeterai antara PUMA Malaysia dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebagai usaha memperkukuh bola sepak negara.

Menurut FAM, kerjasama ini melambangkan era baharu bola sepak Malaysia dengan PUMA menjadi rakan pakaian rasmi Harimau Malaya.

“Kerjasama ini mengukuhkan komitmen bersama untuk memajukan bola sepak di Malaysia,” jelas FAM menerusi kenyataan di media rasmi mereka.

Walau bagaimanapun, rekaan baharu jersi itu menerima reaksi bercampur daripada peminat. Bagi Cools, yang kini bermain untuk Buriram United, dia secara peribadi melihat ada potensi untuk rekaan yang lebih menarik.

“Saya mungkin mempunyai beberapa rekaan jersi yang lebih baik lagi. Tetapi secara keseluruhan, saya fikir ia hitam dan putih yang bermaksud Malaysia. Mungkin orang mengharapkan sesuatu yang berbeza,” ujar Cools menerusi satu video di TikTok Futbolita.

Selain membincangkan tentang jersi baharu, Cools turut menyentuh mengenai jurulatih baharu Harimau Malaya, Peter Cklamovski.

Dia optimis dengan pelantikan itu dan melihatnya sebagai langkah positif untuk masa depan skuad negara.

“Ini mungkin satu langkah ke hadapan untuk masa depan. Saya menantikan projek ini dan tidak sabar melihat bagaimana keadaan semua orang nanti,” tambahnya.

 

@ashfutbolita Buriram & Malaysia captain Dion Cools shares his thoughts on the new Malaysia jersey launched today and the appointment of head coach Peter Cklamovski! 👀 What are your thoughts on the new kit and the team’s direction? Let us know in the comments! ⬇️💬 #HarimauMalaya #DionCools #malaysiafootball #sgsports #tiktokmy ♬ The Champion – Lux-Inspira

Dalam perkembangan lain, Cools baru sahaja membantu Buriram United mengikat Lion City Sailors dari Singapura dengan keputusan 0-0 dalam aksi keempat Kumpulan B ACC Shopee Cup 2024/2025.

Era baharu Harimau Malaya bukan sahaja membawa jurulatih dan visi baharu, tetapi turut hadir dengan perubahan signifikan seperti jersi baharu yang kini menjadi topik hangat di kalangan peminat.

Kini, perhatian tertumpu kepada prestasi skuad kebangsaan yang bakal kembali ke padang dalam aksi kelayakan pada Mac akan datang.