OLAHRAGA Malaysia (MA) tampil dengan pelan paling berani dan signifikan dalam usaha melonjakkan prestasi atlet negara, menyasar untuk memiliki 22 jurulatih dalam usaha menggerakkan ekosistem olahraga kebangsaan menjelang Sukan Olimpik 2032.
Menurut Pengarah Teknikalnya, Robert Ballard, langkah menambah bilangan jurulatih daripada hanya sembilan ketika ini kepada 22 menjelang 2026 adalah strategi jangka panjang, untuk memperkukuh pembangunan akar umbi serta meningkatkan keberkesanan program latihan negara.
“Kita tidak lagi boleh bergantung sepenuhnya kepada pusat latihan utama. Kita perlukan sistem desentralisasi, di mana jurulatih kebangsaan turut turun padang ke negeri-negeri, membimbing dan membentuk pelapis dari bawah,” katanya dalam saru sidang media di ibu negara.

Pengarah Teknikal Olahraga Malaysia, Robert Ballard
Lebih menarik, proses pengambilan jurulatih sedang diteliti dengan rapi, termasuk kombinasi tenaga tempatan dan antarabangsa yang berpengalaman membimbing atlet bertaraf Olimpik.
Bagaimanapun, kelulusan kontrak dan visa masih menunggu lampu hijau daripada Majlis Sukan Negara (MSN).
“Sasaran ini bukan angka semata-mata, tapi satu pelaburan jangka panjang. Kita mahu jurulatih-jurulatih ini menjadi nadi utama dalam mencorakkan kejayaan Malaysia di Olimpik 2032,” kata Ballard penuh tekad.
Malah, rekod mencatatkan bahawa lebih 700 jurulatih tempatan menerima akreditasi World Athletics (WA) tahun lalu, satu angka tertinggi pernah dicapai, menandakan kesiapsiagaan Malaysia membina barisan kejurulatihan kelas dunia.
MA kini bukan hanya mencari atlet emas, tetapi membina barisan jurulatih emas.