Ketua jurulatih Selangor FC, Kim Pan-gon menggesa Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menjalankan siasatan berhubung insiden kekecohan yang berlaku di tepi padang ketika aksi separuh akhir kedua Piala FA menentang Kuching City FC di Stadium Taha Ariffin, malam tadi.

Insiden berkenaan tercetus sebelum tamat perlawanan selepas suasana menjadi tegang susulan jaringan yang memastikan Kuching City mara ke final dengan kemenangan agregat 3-2.

Selangor terpaksa menerima hakikat tersingkir daripada saingan apabila jaringan sendiri oleh Mukhairi Ajmal Mahadi memberikan kelebihan kepada The Cats untuk mengesahkan tempat dalam perlawanan akhir bertemu juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Bagaimanapun, perhatian selepas perlawanan turut terarah kepada insiden di kawasan bangku simpanan Selangor yang mencetuskan reaksi kurang senang Pan-gon.

Pengendali kelahiran Korea Selatan itu mendakwa Nazmi Faiz Mansor menghampiri kawasan bangku simpanan Selangor sehingga mencetuskan kekecohan, sekali gus menyifatkan tindakan berkenaan sebagai sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku.

Pan-gon turut mempersoalkan tindakan meraikan jaringan di kawasan bangku simpanan pasukan lawan dan menegaskan kepentingan menghormati pihak lawan dalam situasi sedemikian.

“Pemain yang menjaringkan gol tidak boleh datang ke bangku simpanan pasukan lawan dan menyerang ketua jurulatih pasukan tersebut.

“Itu sangat mengecewakan, MFL perlu menjalankan siasatan. Kita mesti memastikan semangat kesukanan terus dipelihara,” katanya seperti dilaporkan media tempatan.

Dalam masa sama, Pan-gon mempertahankan tindakan pemain dan kakitangan kejurulatihannya yang dilihat cuba melindungi antara satu sama lain ketika keadaan semakin tegang.

Beliau juga mempersoalkan keputusan melayangkan kad merah kepada beberapa individu daripada kem Selangor, sambil menegaskan tindakan mereka adalah untuk melindungi ketua jurulatih serta rakan sepasukan.

“Saya tidak fikir kakitangan dan pemain kami layak menerima kad merah.

“Siapa yang sepatutnya melindungi ketua jurulatih apabila seseorang daripada pasukan lawan datang menghampiri secara agresif? Mereka hanya mahu menghalangnya. Saya mahu melindungi pemain dan kakitangan saya. Itu sahaja,” katanya.

Kini, Selangor perlu menerima kekecewaan tersingkir daripada Piala FA, manakala Kuching City bakal membuat penampilan di pentas final untuk berdepan JDT dalam perebutan trofi kejuaraan.