Kuching City FC membuktikan kekuatan semangat berpasukan apabila berjaya melakar sejarah mara ke final Piala FA Malaysia buat kali pertama, dengan ketua jurulatih, Aidil Sharin Sahak menegaskan kejayaan itu bukan hasil kehebatan individu semata-mata.

Sebaliknya, Aidil menyifatkan pencapaian tersebut sebagai bukti komitmen, disiplin taktikal dan kesungguhan seluruh pemain yang meletakkan kepentingan pasukan mengatasi segala-galanya.

“Tiada pemain bintang atau individu tertentu kerana semuanya mengenai pasukan. Kami tidak memilih pemain berdasarkan status bintang kerana bola sepak hari ini bergantung kepada usaha kolektif,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Kuching City mengesahkan tempat ke final selepas menewaskan Selangor FC 2-0 dalam aksi timbal balik separuh akhir di Stadium Taha Ariffin, sekali gus mencatat kemenangan agregat 3-2 selepas perlawanan berlanjutan sehingga masa tambahan.

Aidil turut memuji mentaliti pemainnya yang tidak berputus asa meskipun terpaksa mengharungi cabaran kecederaan yang membelenggu skuad sepanjang kempen berkenaan.

“Pemain membuktikan malam ini betapa besar keinginan mereka untuk mara ke final,” katanya.

Mengulas kritikan terhadap pemilihan pemain yang dilemparkan di media sosial, Aidil mengingatkan bahawa keputusan membentuk kesebelasan utama perlu mengambil kira keadaan sebenar skuad, khususnya pemain yang tidak dapat diturunkan akibat kecederaan.

“Ramai sangat ‘keyboard warriors’ sekarang dan terlalu ramai jurulatih di Facebook,” katanya.

Beliau mendedahkan Gabriel Peres dan Ronald Ngah Wanja dijangka berehat selama dua bulan selepas menjalani pembedahan lutut, manakala Jimmy Raymond mengalami kecederaan patah kaki. Beberapa pemain lain turut tidak dapat beraksi akibat kecederaan, sementara Joao Pedro terpaksa dikeluarkan ketika perlawanan susulan masalah hamstring.

Dalam pada itu, Aidil menjelaskan kejayaan mengekang kekuatan Selangor turut berpunca daripada persiapan rapi pasukannya, terutama usaha memutuskan bekalan bola daripada pemain tengah kreatif lawan supaya penyerang mereka tidak mendapat peluang di dalam kotak penalti.

“Kami melakukan banyak analisis dan tahu perlu mematikan gerakan daripada pemain utama mereka supaya penyerang tidak menerima bola di dalam kotak penalti. Kaishu Yamazaki bekerja sangat keras bersama Ryan Lambert di bahagian tengah. Kaishu sedang kembali kepada prestasi terbaiknya dan kami mahu dia mengekalkan konsistensi itu,” katanya.

Beliau turut menjelaskan kemasukan Dylan Wenzel-Halls di bahagian sayap ketika masa tambahan merupakan sebahagian daripada perancangan taktikal untuk mengambil kesempatan terhadap keletihan barisan pertahanan Selangor menerusi larian bertindih dan hantaran lintang ke ruang belakang pertahanan lawan. Aidil memuji pemainnya kerana melaksanakan pelan permainan dengan cemerlang.