Beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah mencipta sejarah tersendiri apabila muncul juara Denmark Open 2026 selepas menewaskan pasangan Jepun, Hinata Suzuki-Nao Yamakita di pentas final, hari ini.

Gandingan pilihan kedua kejohanan itu menampilkan aksi meyakinkan untuk menundukkan lawan yang menghuni ranking ke-21 dunia menerusi kemenangan straight set 21-18, 21-11.

Kejayaan itu menyaksikan Pearly-Thinaah menambah koleksi kejuaraan Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) mereka bagi musim 2026, selepas turut menjuarai Indonesia Masters sebelum ini.

Suzuki-Yamakita bagaimanapun memberikan tentangan sengit pada set pembukaan apabila mendahului 8-3. Namun, Pearly-Thinaah bangkit menyamakan kedudukan 8-8 sebelum mengukuhkan kawalan permainan untuk menutup set pertama dengan kemenangan 21-18.

Memasuki set kedua, beregu negara terus memperagakan permainan agresif untuk membina kelebihan 7-2. Mereka kemudian mengekalkan momentum sehingga berjaya mengesahkan kemenangan 21-11 dalam usaha menamatkan cabaran pasangan Jepun itu.

Lebih bermakna, kejayaan di Odense itu menamatkan penantian 18 tahun Malaysia untuk kembali memiliki juara acara beregu wanita Denmark Open, selepas kali terakhir dimenangi Chin Ee Hui-Wong Pei Tty pada 2008.

Pearly-Thinaah turut membawa pulang hadiah wang kemenangan berjumlah AS$70,300 (kira-kira RM287,075) hasil kejayaan menjuarai kejohanan berstatus Super 750 itu.