TIGA kejohanan dalam tempoh singkat bakal menjadi medan penting buat Aaron Chia-Soh Wooi Yik mengukuhkan kedudukan dalam perebutan tiket ke Jelajah Dunia Akhir, meskipun pasangan utama negara itu masih berdepan isu kecederaan.
Beregu lelaki nombor empat dunia itu tidak berhasrat menarik diri daripada kejohanan akan datang, sebaliknya mahu memanfaatkan setiap peluang mengutip mata bagi memastikan tempat dalam kelompok lapan terbaik ranking Jelajah Dunia.
Aaron berkata, kecederaan tumit kanan yang dialami Wooi Yik ketika pusingan pertama Terbuka Perancis minggu lalu tidak terlalu serius, namun pasangannya masih memerlukan masa untuk menjalani proses pemulihan.
“Keadaan saya semuanya baik dan pasangan saya pun okey. Dia juga sedang dalam proses pemulihan, tetapi kami akan ke Korea, Jepun dan Hong Kong untuk kejohanan akan datang,” katanya.
Selepas menarik diri pada separuh akhir Terbuka Perancis, Aaron-Wooi Yik dijadualkan beraksi pada Terbuka Korea dari 3 hingga 8 November, diikuti Masters Kumamoto (10 hingga 15 November) dan Terbuka Hong Kong.
Ketiga-tiga kejohanan itu penting buat mereka yang kini menghuni tangga ketujuh ranking Jelajah Dunia, sekali gus perlu mengumpul mata mencukupi untuk mengesahkan kemaraan ke kejohanan penutup musim di Hangzhou, China, dari 8 hingga 13 Disember ini.
“Kami perlu beraksi habis-habisan dalam tiga kejohanan ini kerana kami juga boleh menambah mata untuk kelayakan Jelajah Dunia Akhir. Jadi, kami akan turun bermain dan lihat bagaimana keadaannya,” katanya.
Walaupun baru kembali bergandingan selepas melalui proses rombakan selama tiga bulan di bawah bimbingan ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi, Aaron yakin pengalaman bertahun-tahun bersama Wooi Yik membantu mereka mendapatkan semula keserasian dengan pantas.
“Kami sudah lama bergandingan, jadi saya rasa perkara itu tidak banyak menjejaskan kami,” katanya.
Bagaimanapun, Aaron memilih untuk memberi tumpuan kepada usaha mengesahkan kelayakan terlebih dahulu sebelum memikirkan sasaran lebih jauh di Jelajah Dunia Akhir yang menawarkan hadiah keseluruhan AS$3.5 juta (RM14.30 juta).