KETUA jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon tidak gembira dengan tekanan diberikan oleh pihak media ke atas pasukan kebangsaan biarpun melakar kemenangan.
Semalam, Malaysia mengalahkan Kepulauan Solomon 4-1 di Kuala Nerus dan bakal memperbaiki kedudukan senarai ranking Fifa yang dikeluarkan nanti.
“Apabila kami menang masih ada tekanan daripada anda (media). Kami tidak boleh tidur jadi pada saya, kadang-kadang anda tahu kami mesti menikmati sesuatu apabila menang 4-1.
“Kita boleh berpuas hati untuk dua, tiga hari dan kemudian barulah kita lihat apa yang perlu diperbaiki,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Menyentuh keseluruhan aksi 90 minit, Pan-gon menyifatkan satu keputusan baik apabila meraih kemenangan tetapi sedikit ralat apabila anak buahnya tidak bermula baik.
“Pemain Malaysia juga manusia. Beberapa kesilapan kecil dilakukan dan pemain hilang konsentrasi. Banyak peluang terhidang menjaring banyak gol dilepaskan begitu sahaja.
“Kalau ikutkan saya mahu kita hasilkan lebih daripada empat gol, tapi gagal diterjemahkan dalam bentuk jaringan.
“Sekiranya kita bertemu pasukan yang kuat, kita tidak akan dapat peluang sebanyak ini, dan sekiranya kita terlepas peluang seperti malam ini, kita akan rugi,” katanya.
Kemenangan ke atas Solomon itu berjaya menambah 5.02 mata buat Malaysia dalam ranking Fifa dan berpeluang memintas Filipina sekiranya berjaya menewaskan Papua New Guinea minggu hadapan.