SKUAD hoki lelaki negara membawa harapan tinggi apabila bersedia menggalas cabaran dalam edisi ketiga Kejohanan FIH Piala Negara-Negara 2024-25 yang akan berlangsung di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil bermula 15 Jun ini.

Dengan barisan 20 pemain yang berumur purata 26.5 tahun, Malaysia meletakkan sasaran untuk mara ke separuh akhir, sekali gus memperbaiki pencapaian di edisi terdahulu.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan, Dato’ Najmi Razak, persiapan rapi telah dijalankan termasuk jelajah ke Korea Selatan yang menyaksikan skuad bimbingan Sarjit Singh meraih dua kemenangan, dua seri dan satu kekalahan daripada lima aksi persahabatan.

Beliau turut memuji disiplin dan tahap kecergasan para pemain yang berada pada tahap baik, namun mengakui masih terdapat beberapa kelemahan yang sedang diperbaiki sebelum kejohanan bermula.

Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama tiga lawan yang mencabar, New Zealand (ranking ke-12 dunia), Pakistan (15) dan Jepun (16). Aksi sulung menentang Pakistan pada 15 Jun jam 8 malam dijangka menjadi penentu momentum awal pasukan, sementara perlawanan terakhir kumpulan dijadualkan pada 21 Jun. Hanya dua pasukan teratas kumpulan akan mara ke separuh akhir.

Dalam pada itu, satu perlawanan persahabatan terakhir dijadualkan menentang Wales pada 13 Jun jam 5 petang, yang terbuka kepada orang awam dan wakil media. Ia bakal menjadi medan akhir untuk menguji keserasian taktikal sebelum kejohanan sebenar bermula.

Kejohanan yang melibatkan lapan pasukan termasuk pasukan ranking lebih tinggi seperti Perancis (ke-9) dan Afrika Selatan (11) memberi cabaran getir buat Malaysia yang kini berada di ranking ke-13 dunia. Namun beraksi di laman sendiri memberi kelebihan tersendiri, selain sokongan penuh daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) serta Institut Sukan Negara (ISN).

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan, Dato’ Najmi Razak

Dengan sejarah meraih tempat keempat pada edisi sulung 2022 dan ketujuh pada edisi lalu di Poland, skuad negara kini nekad kembali berada dalam kelompok empat terbaik. “Saya mahu setiap pemain diberi peluang sebaik mungkin agar kita mampu beri persembahan terbaik dalam setiap kejohanan,” tegas Dato’ Najmi yang optimis dengan potensi skuad kali ini.

Kini, segalanya terpulang kepada pemain-pemain untuk membuktikan keupayaan mereka di pentas antarabangsa. Dan buat seluruh penyokong hoki tanah air, inilah masanya untuk berdiri teguh di belakang pasukan yang bakal mempertahankan maruah negara di halaman sendiri.