SKUAD Harimau Malaya menerima suntikan segar menjelang aksi getir menentang Vietnam apabila pertahanan tengah, Facundo Garcés, diumumkan secara rasmi menyertai pasukan kebangsaan Malaysia. Pemain kelahiran Argentina berusia 25 tahun itu sah melengkapkan proses pendaftaran serta kelayakan dan kini sudah bersedia untuk diturunkan oleh ketua jurulatih, Peter Cklamovski.

Bekas tonggak utama Deportivo Alavés dalam saingan La Liga itu dilihat sebagai satu aset besar buat Harimau Malaya, bukan sahaja kerana pengalaman bertaraf antarabangsa yang dimilikinya, tetapi juga ketenangan dan aura kepimpinan di barisan pertahanan. “Facundo merupakan seorang pemain yang berperwatakan hebat, pertahanan yang tenang serta memiliki personaliti dan pengalaman tinggi. Beliau sangat bersemangat untuk mewakili Malaysia dan membanggakan negaranya,” kata Cklamovski.

Garcés, yang turut pernah beraksi dalam liga utama Argentina sebelum berhijrah ke Sepanyol, tampil penuh semangat dalam sesi latihan pertama bersama skuad negara dalam kem latihan pusat sempena jendela FIFA kali ini. Beliau dijangka bakal menjadi taruhan penting untuk mengukuhkan benteng pertahanan negara menjelang perlawanan Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun nanti.

Bagi Garcés sendiri, peluang untuk menyarung jersi Malaysia adalah satu penghormatan besar. “Menjadi sebahagian daripada pasukan kebangsaan ini adalah satu penghormatan yang luar biasa. Sejak tiba, saya telah merasai kehangatan, semangat kekeluargaan, dan sokongan yang ikhlas dari semua. Jika ini baru permulaan, saya tidak dapat bayangkan betapa hebatnya bila seluruh negara dan penyokongnya berdiri teguh bersama kami,” katanya penuh emosi.

Kehadiran Garcés turut dilihat sebagai simbol kesungguhan skuad negara dalam memperkukuh pasukan ke arah memburu tiket ke Piala Asia dan seterusnya mengejar impian lebih besar di pentas dunia. Dengan kombinasi pemain tempatan dan kacukan yang semakin serasi di bawah bimbingan Cklamovski, harapan penyokong untuk melihat Harimau Malaya lebih garang kini semakin tinggi.

Jika diberi peluang membuat penampilan sulung menentang Vietnam, Facundo Garcés dijangka bakal mencuri tumpuan di Stadium Nasional Bukit Jalil, bukan sahaja kerana latar belakangnya yang berkelas tinggi, tetapi juga semangat luar biasa yang dibawanya untuk mengharumkan nama Malaysia.