PELARI muda negara, Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira, berazam meningkatkan jisim badan (body mass) selepas berasakan faktor itu menjadi batas buat dirinya mara lebih jauh dalam sukan olahraga.
Pemgalaman bersaing dengan jaguh pecut benua dalam Kejohanan Trek dan Padang Asia (ATF) di Gumi, minggu lalu, menceritakan segala kekurangan itu, namun bagi Izzatul, 17, masih banyak ruang dan masa untuk dia perbaikinya.
Dia beraksi dalam acara 200 meter wanita, mencatat masa 25.04 saat (s) dalam saringan pertama, beraksi sebaris dengan nama besar seperti Veronika Shanti Pereira dari Singapura, mengakui masih jauh untuk bersaing dengan atlet senior.

Izzatul Musfirah berpeluang berlari bersama pelari terkemuka Asia di ATF 2025.
“Saya sedar antara perkara utama yang perlu diperbaiki dalam diri saya ialah dari segi fizikal. Saya perlu meningkatkan jisim badan dan menguatkan otot-otot utama agar lebih bersedia bersaing dengan atlet yang lebih besar dan berpengalaman,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Anarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas pulang dari Korea Selatan.
Menurutnya, prestasinya agak terjejas berbanding catatan peribadi terbaik 24.85s yang dilakukan April lalu di Arab Saudi, dipercayai berpunca daripada kesukaran menyesuaikan diri dengan cuaca sejuk serta kelebihan fizikal yang dimiliki pelari lain.

Biarpun baru berusia 17 tahun, Izzatul Musfirah tidak gentar berlari bersama pelari yang jauh lebih berpengalaman darinya.
“Dengan kekuatan fizikal yang lebih baik, saya percaya saya akan lebih berkeyakinan, tidak mudah berasa takut, dan mampu untuk bersanding serta bersaing dalam apa jua situasi pertandingan,” jelas atlet kelahiran Terengganu itu.
Baginya, pengalaman beraksi di pentas besar seperti ATF adalah satu detik penting dalam perkembangan diri sebagai atlet muda, selain menjadi pembakar semangat untuk terus memperbaiki kekurangan.