SEPAK takraw tanah air kini melangkah ke fasa baharu apabila Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) akan dijenamakan semula sebagai Persekutuan Sepaktakraw Malaysia selepas pindaan itu dipersetujui sebulat suara dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM), hari ini.
Presiden PSM, Datuk Sumali Reduan menjelaskan penjenamaan semula itu bertujuan memberi gambaran lebih jelas peranan mereka sebagai badan induk nasional berbanding ahli-ahli gabungan di peringkat negeri yang kekal menggunakan nama ‘persatuan’.
“Benda ini dah lama kita bincang, bukan tiba-tiba. Ramai dah setuju sebab ia lebih menggambarkan peranan sebenar kita. Nama kita akan jadi Persekutuan Sepaktakraw Malaysia tapi singkatan PSM tetap dikekalkan,” katanya, selepas EGM dan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) di ibu negara.
Menurut Sumali, permohonan rasmi akan dihantar kepada Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) dalam masa terdekat, dan perubahan itu hanya akan berkuat kuasa selepas mendapat kelulusan penuh daripada PJS. “Selagi tak ada lampu hijau daripada PJS, kita tak boleh guna nama baharu tu lagi,” ujarnya.
Sementara itu, AGM turut menyaksikan Sumali terus diberi mandat untuk menerajui PSM bagi penggal 2025-2028 selepas menang tanpa bertanding, membuktikan keyakinan ahli gabungan terhadap kepimpinannya kekal utuh.
Drama pemilihan juga menyaksikan Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan meraih kepercayaan sebagai Timbalan Presiden dengan 49 undian, manakala Datuk Abdul Halim turut dipilih dengan 47 undian. Tiga jawatan Naib Presiden pula diisi Datuk Abu Jimi Samat (51 undian), Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman (48) dan Wan Mohd Husni Abdullah (44).
Sumali turut menegaskan proses pemilihan kali ini berlangsung secara adil, aman dan telus hasil pelantikan jawatankuasa bebas yang bertanggungjawab mengendalikan perjalanan penuh AGM tanpa campur tangan pihak jawatankuasa tertinggi sedia ada.
“Kita nak jaga integriti. Tak nak nanti timbul cakap-cakap belakang. Jadi kita lantik pihak luar untuk jaga proses itu. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar,” katanya yang tekad membawa sepak takraw Malaysia ke tahap lebih tinggi dengan semangat baharu dan jenama yang lebih segar.