Format penganjuran Sukan Komanwel Glasgow 2026 yang berlangsung dalam skala lebih kecil tidak seharusnya dianggap sebagai hala tuju baharu temasya itu pada masa akan datang.

Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia, Datuk Awalan Abdul Aziz berkata, pengurangan jumlah sukan dan penggunaan kemudahan sedia ada pada edisi kali ini berpunca daripada tempoh persiapan yang singkat selepas Victoria, Australia menarik diri sebagai tuan rumah.

Beliau berkata, Sukan Komanwel di Ahmedabad, India pada edisi akan datang dijangka kembali menggunakan format asal dengan sekitar 17 hingga 20 jenis sukan dipertandingkan, sekali gus menunjukkan apa yang berlaku di Glasgow hanyalah situasi luar biasa.

Menurutnya, Glasgow hanya mempunyai tempoh kurang dua tahun untuk membuat persiapan selepas dipilih menggantikan Victoria sebagai tuan rumah, menyebabkan penganjur terpaksa mengecilkan skala temasya dan memanfaatkan venue sedia ada.

Awalan berkata demikian kepada media selepas meninjau sesi latihan skuad gimnastik artistik negara di Glasgow International Arena.

Glasgow 2026 hanya mempertandingkan 10 jenis sukan berbanding 20 pada edisi Birmingham 2022, dengan semua pertandingan dijalankan di empat venue utama bagi mengurangkan kos penganjuran.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan tahap kesiapsiagaan kontinjen negara berada dalam keadaan baik menjelang pembukaan rasmi temasya.

Menurutnya, aspek kesihatan dan pencegahan kecederaan menjadi keutamaan bagi memastikan semua atlet berada pada tahap kecergasan terbaik selepas menjalani tempoh persiapan yang panjang.

Beliau turut menasihatkan atlet yang baru tiba di Glasgow supaya segera menyesuaikan waktu tidur mengikut waktu tempatan bagi mengurangkan kesan jet lag sebelum memulakan saingan.

Sementara itu, seramai 40 atlet Malaysia akan menyertai perarakan pada upacara pembukaan Sukan Komanwel 2026 di The Hydro, dengan kontinjen negara bakal tampil mengenakan busana batik yang membawa naratif khas Malaysia.