SAMBUTAN hari kemerdekaan ke-68 yang panjang, namun berbaloi dinantikan apabila Pearly Tan-M Thinaah melengkapkan hari bermakna dengan muncul naib juara beregu wanita dunia.
Biarpun tidak membawa gelaran juara, cara pemain China, Liu Sheng Shu dan Tan Ning meraikan kemenangan sudah cukup menceritakan betapa Pearly dan Thinaah memberi tekanan besar kepada pasangan nombor 1 dunia itu.
Berdepan lawan “gergasi” pasangan negara itu mempamerkan aksi memukau terpaksa akur tunduk 14-21 pada set pertama namun bangkit memenangi set kedua, 22-20.
Tahap konsistensi agak terjejas pada set penentuan menyaksikan Pearly-Thinaah terpaksa akur tewas 17-21 dalam pertarungan selama 83 minit, di Porte de La Chapelle.
Walau apapun berlaku, Pearly-Thinaah telah menepati status mereka sebagai pasangan yang baru naik ke tangga nombor 2 dunia dan pastinya, mereka akan tetap menjadi lawan yang digeruni dalam acara beregu wanita.
Tahniah Pearly-Thinaah sebagai naib juara dunia, terima kasih Chen Tang Jie-Toh Ee Wei membawa pulang kejuaraan dari Paris.