GANDINGAN badminton kebangsaan, Teo Ee Yie yakin penglibatan mereka dalam Purple League tahun ini mampu membantu cara permainan mereka terutama dalam situasi bulu tangkis yang laju dan keadaan berangin.

Pengalaman ditewaskan pasangan Indonesia Moh Reza Pahlavi-Sabar Karyaman aksi separuh akhir pada Sabtu memberi pengajaran kepadanya.

“Mereka adalah pemain yang baiklah sebenarnya kerana mereka keluar daripada pasukan kebangsaan tetapi mereka berjaya mengejutkan pasangan Indonesia yang lain selepas memenangi All England Champion.

“Ini pertama kali sebenarnya bermain di Genting. Sekarang saya tahu keadaan gelanggang, bulu tangkis yang laju. Saya anggap ini pengalaman bermakna,” ujarnya ketika ditemui media selepas tamat perlawanan tempat ketiga dan keempat di Arena Of Stars, Genting Highland.

Ditanya samada bakal kembali ke Persatuan Badminton Malaysia (BAM), dia mengakui ada menerima jemputan (BAM) namun ianya masih dalam perbincangan.

“Kita masih dalam perbincangan, sebab BAM ada jemput juga untuk masuk dalam latihan. Kita di luar juga ada banyak pairing.

“Kita tidak boleh fikir diri sendiri sahaja. Kadangkala, kita kena fikir pasal pemain muda yang perlukan latihan, kalau kita pentingkan diri nanti mereka terabai.

“Buat masa ini, Li Ning membantu kita sangat banyak dan berterima kasih kepada mereka,” tambahnya.

Perlawanan tempat ketiga dan keempat dimenangi Ong Yew Sin – Teo Ee Yi dengan kemenangan 11-5,11-5,11-4 mengatasi gandingan Sena Bangkok, Kittisak Namdash – Yap Qar Siong.