REKOD perpindahan Britain sekali lagi dipecahkan apabila Liverpool dilaporkan bersetuju membawa masuk penyerang Newcastle United, Alexander Isak dengan yuran mencecah £130 juta (RM788.6 juta), sekali gus menjadikannya pembelian termahal dalam sejarah kelab Merseyside itu.
Menurut laporan The Athletic dan The Telegraph, penyerang Sweden berusia 25 tahun itu sudah menjalani pemeriksaan perubatan dan dijangka menandatangani kontrak enam tahun bersama skuad kendalian Arne Slot. Isak hadir ke Anfield dengan reputasi besar selepas menjaringkan 23 gol dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu, hanya dibezakan satu jaringan di belakang Mohamed Salah.
Perpindahan ini mengakhiri saga berlarutan sepanjang musim panas apabila Isak jelas menunjukkan hasrat untuk berpindah dengan berlatih secara berasingan daripada skuad utama Newcastle. Situasi itu bertambah nyata selepas kelab timur laut England berbelanja besar untuk mendapatkan penyerang Jerman, Nick Woltemade dengan yuran rekod kelab £69 juta (RM418.8 juta), seakan membuka pintu keluar buat Isak.
Isak menjadi nama besar terbaharu dalam deretan pembelian mewah Liverpool musim panas ini, selepas kehadiran bintang tengah Jerman Florian Wirtz, penyerang Perancis Hugo Ekitike, pertahanan sayap Jeremie Frimpong serta Milos Kerkez. Langkah agresif ini jelas isyarat The Reds tidak mahu melepaskan genggaman mereka di puncak EPL.
Sementara itu, pengurus Newcastle, Eddie Howe mengakui kelabnya terpaksa membuat keputusan sukar demi keseimbangan kewangan dan mengelak masalah di bawah Peraturan Keuntungan dan Kelestarian (Profit and Sustainability Regulations). Pulangan lumayan daripada penjualan Isak dijangka menjadi penyelamat dalam memastikan kelab tidak berdepan hukuman potongan mata.
Newcastle sendiri sebelum ini pernah terpaksa menjual Elliot Anderson dan Yankuba Minteh bagi menstabilkan kedudukan kewangan, namun penjualan Isak jelas memberi impak lebih besar kerana beliau adalah tonggak utama pasukan yang membawa mereka kembali ke Liga Juara-Juara.
Liverpool bagaimanapun masih mencari sentuhan terbaik biarpun dibarisi bintang-bintang baharu. Selepas tiga kemenangan daripada tiga perlawanan, termasuk menewaskan Arsenal 1-0 di Anfield, juara bertahan EPL itu kekal di puncak liga, tetapi belum menampilkan dominasi meyakinkan seperti musim lalu.
Bagi Newcastle pula, kehilangan Isak meninggalkan mereka di kedudukan ke-17 selepas sekadar seri tanpa jaringan menentang Leeds United, sekali gus meningkatkan tekanan terhadap Howe untuk mencari solusi dalam usaha keluar daripada zon bahaya.