BEKAS pemain beregu campuran negara, Goh Liu Ying optimis pasangan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mampu mencipta kejutan di BWF World Tour Finals yang bakal berlangsung pada 11 hingga 15 Disember ini.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu menekankan kepentingan persediaan mental sebagai faktor utama kejayaan mereka.

“Cabaran di BWF World Tour Finals memang sengit, tetapi saya rasa mereka ada peluang. Namun, aspek mental adalah penentu.

“Jika sebelum ini mereka berusaha mengejar lawan untuk meningkatkan ranking dunia, kini mereka pula menjadi sasaran pasangan muda lain,” katanya ketika ditemui di pelancaran Malaysia Kidslympic di Stadium Merdeka pada Rabu.

Liu Ying, yang diumumkan sebagai duta Malaysia Kidslympic, turut menegaskan konsistensi dalam latihan dan pertandingan adalah faktor penting buat Tang Jie dan Ee Wei untuk terus mencipta prestasi cemerlang di pentas antarabangsa.

Dalam pada itu, Liu Ying turut berkongsi kenangan manisnya terhadap pencapaian sukan negara, khususnya dalam kategori wanita.

“Sejujurnya, saya sangat terkejut dan gembira dengan persembahan beregu wanita di Olimpik. 

“Sebab, kita memang kurang pemain wanita dan masuk separuh akhir beregu wanita, kita tak pernah lagi.

“Jadi, ini adalah satu hasil yang agak mengejutkan dan saya harap kita akan lebih banyak atlet wanita dalam sukan badminton akan datang selepas tengok mereka mampu masuk separuh akhir,” luahnya.