MARA ke suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka India, beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik percaya mereka berada di landasan tepat untuk mendapatkan kembali kemuncak prestasi.

Malah menurut Aaron, prestasi yang dipamerkan pada pusingan kedua kejohanan itu lebih baik berbanding perlawanan pusingan pertama.

“Jika dibandingkan semalam (pusingan pertama) dan juga minggu lepas… saya yakin kami perlahan-lahan kembali mendapatkan momentum, ada peningkatan,” kata Aaron, kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Selepas menewaskan Peeratchai Sukphun-Pakkapon Teeraratsakil dari Thailand rubber game di pusingan pertama, hari ini mereka mengatasi gandingan muda China, Xie Hao Nan-Zeng Wei Han 21-10, 21-18, dalam masa hanya 34 minit.

Aaron Chia-Soh Wooi Yik yakin mereka semakin mendapat semua momentum kemenangan.

“Perlawanan hari ini berkaitan mental… bagaimana kami boleh tenang melalui proses ini, kami hanya fokus kepada gaya permainan kami dan secara keseluruhannya kami kekal tenang,” ujar Wooi Yik.

Tiga tahun beraksi di Terbuka India, Wooi Yik menyifatkan dia dan Aaron selesa dan cepat menyesuaikan diri.

Malah mereka memiliki rekod baik di India, selepas mara ke separuh akhir tahun lalu dan muncul naib juara pada 2023.

Di suku akhir hari ini, Aaron-Wooi Yik akan berdepapn beregu Thailand Kittinupong Kedren-Dechapol Puavaranukroh, yang mencipta kejutan ke atas pilihan keempat dari Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto menerusi kemenangan 24-22, 16-21, 21-16 dalam tempoh 66 minit.