KETUA jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Muñoz menegaskan fokus penuh pasukan kini hanya terarah kepada perlawanan menentang FC Machida Zelvia dalam saingan Liga Juara-Juara AFC (ACLE) esok, meskipun kehilangan tiga tonggak utama yang digantung FIFA.

Tiga pemain warisan negara, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel tidak dapat diturunkan, namun Muñoz memilih untuk tidak larut dengan isu tersebut sebaliknya mahu anak buahnya memberikan tumpuan kepada aspek taktikal serta persembahan terbaik buat penyokong.

“Sekarang perkara paling penting adalah fokus kepada perlawanan, fokus pada apa yang perlu dilakukan dari segi taktikal, apa yang kami cuba berikan kepada pemain untuk memastikan mereka berada pada tahap terbaik. Kami mahu berikan yang maksimum buat penyokong,” katanya dalam sidang media pra-perlawanan.

Ditanya mengenai strategi menggantikan posisi yang ditinggalkan tiga pemain terbabit, Muñoz menegaskan beliau mempunyai skuad yang cukup besar dan berkualiti untuk mengisi kekosongan tersebut.

“Kami ada 33 hingga 34 pemain pada tahap yang baik. Esok kami akan letakkan barisan terbaik, dan pemain yang mendapat peluang perlu membuktikan kemampuan mereka. Yang penting, semua perlu beri yang maksimum untuk pasukan,” jelasnya.

Muñoz juga yakin semangat kolektif pasukan akan menjadi kunci untuk mengekalkan momentum di pentas Asia, walaupun diuji dengan krisis yang berlaku di luar kawalan kelab.

“Bagi saya, yang penting adalah setiap pemain yang mendapat peluang perlu tampil dengan persembahan terbaik. Jika semua berikan 100 peratus, saya yakin kami mampu catat prestasi cemerlang,” tambahnya.

Perlawanan JDT menentang Machida Zelvia dijadualkan berlangsung pada jam 8.15 malam di Stadium Sultan Ibrahim, dengan ribuan penyokong Harimau Selatan dijangka membanjiri venue untuk memberikan sokongan padu.