KEM beregu campuran negara bakal melalui fasa rombakan besar-besaran selepas ketua jurulatih, Nova Widianto menegaskan mahu menutup jurang besar antara gandingan utama, kedua dan ketiga, ketika ini.

Bagaimanapun, rombakan itu hanya akan berlaku selepas Kejohanan Remaja Dunia (WJC) di India, 6 hingga 19 Oktober ini.

Selepas menngumumkan pembubaran gandingan Loo Bing Kun-Gi Pei Kee Jumaat lalu, Nova memberi isyarat jelas bahawa pemain senior yang tidak menunjukkan prestasi boleh disingkirkan.

Datu Anif Isaac-Dania Sofea mempamerkan prestasi mantap namun sayangnya, Dania mengalami lecederaan ACL.

Katanya, tumpuan tertumpu kepada pasangan remaja, Wee Yee Hern-Chan Wen Tse (ranking 66), Datu Anif Isaac Asrah-Dqbia Sofea Ratu-Dania (251), Tan Tan Zhi Yang-Nicole Tan (197), Loh Ziheng-Noraqilah Maisarah (126) yang menampilkan prestadi lebih ketara peningkatannya selain berani mencabar nama besar di gelanggang remaja.

“Untuk pelapis senior saya lihat tidak cukup maksimum lagi… mungkin perlu tukar gandingan kerana yang junior lebih oke,” katanya, yang sekali gus mengesahkan bakal ada ‘pembersihan’ skuad campuran.

Wee Yee Hern-Chan Wen Tse meraih satu gelaran senior tahun ini di Siri Cabaran Antarabangsa Thailand, Ogos lalu.

Pembubaran Bing Kun-Pei Kee sekali gus bakal menyaksikan Bing Kun ada dipasangkan dengan remaja wanita baharu.

Begitupun, kecederaan ACL dialami Dania Sofea sedikit merencatkan perancangan, namun Nova tetap optimis bakat remaja lain mampu isi kekosongan dan rebut tempat utama.

“Selepas WJC, jangan terkejut kalau ada kombinasi baru… junior sekarang berani, tiada apa nak rugi dan punya fighting spirit luar biasa,” tegas jurulatih Indonesia itu yang jelas mahu menggegarkan skuad.