KERAJAAN Arab Saudi mengumumkan reka bentuk Stadium Tergantung NEOM, projek futuristik yang bakal menjadi antara venue utama Piala Dunia FIFA 2034, stadium berkapasiti 46,000 tempat duduk itu akan dibina setinggi 350 meter di bandar mega The Line menjadikannya salah satu struktur sukan paling unik di dunia.
Projek ini merupakan sebahagian daripada pelan Vision 2030 yang menjadikan Arab Saudi hab global sukan, pelancongan dan teknologi serta dijadual siap pada 2032 dan dijangka menjadi tuan rumah perlawanan peringkat kumpulan dan suku akhir Piala Dunia 2034.
Reka bentuk Stadium NEOM menonjol dari segi seni bina dan kelestarian dengan penggunaan tenaga angin dan solar sepenuhnya bagi mengurangkan jejak karbon serta dilengkapi lif berkelajuan tinggi dan sistem pengangkutan pintar yang menghubungkan seluruh bandar The Line.
Namun, projek berprofil tinggi ini berdepan cabaran besar seperti isu kejuruteraan, kos yang tinggi serta kebimbangan terhadap alam sekitar dan tenaga kerja. Penganalisis juga menjangka kemungkinan kelewatan pembinaan NEOM berikutan perubahan skala dan jadual projek sebelum ini.
Walaupun berdepan cabaran, kerajaan Arab Saudi kekal optimis bahawa Stadium NEOM akan menjadi simbol kemajuan dan inovasi negara. Piala Dunia 2034 dijangka menjadi platform untuk menunjukkan kemampuan negara membina infrastruktur moden dan lestari bertaraf antarabangsa.
Jika berjaya direalisasikan, Stadium NEOM bakal menjadi mercu tanda baharu bola sepak dan bukti cita-cita Arab Saudi menggabungkan teknologi, seni bina dan sukan dalam satu visi masa depan, menjadikan Piala Dunia 2034 antara edisi paling futuristik dalam sejarah.