DETIK bersejarah tercipta apabila kelab bola sepak ternama Bosnia dan Herzegovina, FK Sarajevo, menamakan pusat latihan pemain mudanya sebagai “FK Sarajevo – Akademi Bola Sepak Tunku Mahkota Ismail”, sebagai tanda penghormatan kepada Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail (TMJ).

Pengumuman rasmi itu dibuat kelab berkenaan selepas mendapat perkenan TMJ, sekali gus menandakan langkah penting dalam hubungan strategik antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan FK Sarajevo yang kini berkembang ke arah kerjasama antarabangsa dalam bidang pembangunan bola sepak.

Menurut kenyataan rasmi FK Sarajevo, keputusan tersebut turut mencerminkan visi bersama dua pelabur utama kelab, Tan Sri Vincent Tan dan Ismir Mirvic, dalam usaha memodenkan kelab dan menjadikannya contoh kecemerlangan bola sepak di rantau Eropah Tenggara.

“Dengan kerjasama Tunku Mahkota Ismail, kelab terus komited dalam misi memodenkan serta mengangkat FK Sarajevo ke peringkat global sebagai model kecemerlangan bola sepak,” jelas kenyataan itu.

Langkah ini juga dilihat sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan besar TMJ dalam membangunkan ekosistem bola sepak moden melalui kejayaan JDT — bukan sahaja di peringkat domestik, tetapi juga Asia.

Sebelum ini, TMJ dilaporkan bakal menjadi pelabur baharu FK Sarajevo bersama Vincent Tan dan Ismir Mirvic, sesuatu yang diyakini mampu membawa kelab itu ke dimensi baharu dalam pengurusan dan pembangunan bakat muda.

Dengan pengiktirafan ini, nama TMJ kini bukan sahaja terpahat di pentas bola sepak Malaysia, malah melangkaui benua — mengukuhkan lagi pengaruh Johor dalam peta bola sepak dunia.

 

ARTIKEL BERKENAAN: