BEREGU campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, kini fokus kepada proses pemulihan selepas Tang Jie menjalani pemeriksaan perubatan di Institut Sukan Negara (ISN) hari ini bagi menilai tahap kecederaan bahu kanannya.

Menurut ketua jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto, keputusan pemeriksaan itu bakal menentukan sama ada pasangan utama negara itu dapat kembali beraksi di Masters Kumamoto, Jepun, bulan depan.

“Kalau dari fisioterapi, saya rasa kalau dia sudah rehat satu minggu, rest untuk smash atau apa, dia mungkin boleh balik lagilah,” kata Nova yang tetap berhati-hati terhadap risiko kecederaan berulang.

Ketua jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto yakin Tqng Jie mampu sembuh dan cergas sebelum Masters Kumamoto, Jepun.

Nova menjelaskan Tang Jie-Ee Wei terpaksa menarik diri daripada Terbuka Hylo di Jerman yang bermula esok, selepas fisioterapi menasihatkan agar tidak memaksa diri bagi mengelak kemungkinan otot atau tisu koyak.

“Fisio menyarankan untuk pull out di Hylo kerana kalau dipaksakan, takut koyak. Kita jaga dulu sebab belum buat ujian penuh lagi,” jelasnya.

Malah, Nova memberitahu: “Tadi dia hanya buat latihan ringan sebab mahu ke doktor, saya pun suruh dia rehat dulu, tapi dia kata tak boleh tidur hingga penat nak training, jadi saya bagi light skill sahaja.”

Pasangan itu dijangka kembali beraksi di Masters Kumamoto dan Australia Open jika laporan perubatan menunjukkan keadaan pulih sepenuhnya, sebelum menilai semula penyertaan ke Jelajah Dunia Final dan Sukan SEA berdasarkan nasihat doktor dan fisioterapi.