SUKAN SEA 2025 bakal mencatat sejarah tersendiri apabila buat pertama kali dalam sejarah temasya, kejohanan bola sepak lelaki dan wanita akan dilangsungkan menggunakan format tiga kumpulan berbanding satu atau dua kumpulan seperti amalan sejak lebih enam dekad lalu.
Menurut perancangan awal, saingan bola sepak lelaki membabitkan 11 pasukan akan dibahagikan kepada dua kumpulan yang masing-masing mempunyai empat pasukan dan satu kumpulan lagi hanya tiga pasukan. Jika hanya 10 pasukan bertanding, format tetap tiga kumpulan digunakan, namun dengan dua kumpulan tiga pasukan dan satu kumpulan empat.
Tiga juara kumpulan bersama satu naib juara terbaik akan layak ke separuh akhir secara merit. Format yang dianggap lebih ‘mesra pemain’ itu diperkenalkan selepas Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) dan Pihak Berkuasa Sukan Thailand (SAT) menilai semula jadual padat yang sebelum ini menyebabkan pemain keletihan dan berisiko alami kecederaan.

Kali terakhir Malaysia memenangi pingat emas adalah pada edisi 2011 selepas berjaya menundukan tuan rumah Indonesia di penentuan sepakan penalti.
Saingan bola sepak wanita pula dijangka melibatkan sembilan pasukan dan akan turut menggunakan format tiga kumpulan, namun tuan rumah boleh mengubah kepada dua kumpulan sekiranya jumlah pasukan menyusut. Penentuan kumpulan berdasarkan prestasi Sukan SEA Kemboja 2023, dengan Thailand selaku tuan rumah akan berada dalam kumpulan paling kecil.
Juara bertahan Indonesia serta Vietnam (gangsa) akan menjadi pasukan pilihan utama dalam bola sepak lelaki, manakala Vietnam juga kekal sebagai pilihan utama bagi acara wanita tanpa mengira jumlah kumpulan yang diwujudkan oleh penganjur.
FAT sebelum ini mengemukakan dua cadangan — sama ada menambah kuota pemain kepada 23 atau menambah bilangan kumpulan. Cadangan kedua dipilih kerana ia mampu beri ruang rehat lebih panjang antara perlawanan tanpa menambah kos logistik dengan mengekalkan jumlah pemain 20 orang. Format baharu itu kini menanti kelulusan rasmi daripada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

logo rasmi Sukan Sea ke-33 Thailand 2025
Kejohanan bola sepak Sukan SEA 2025 akan berlangsung dari 9 hingga 20 Disember di tiga lokasi utama — Bangkok, Chonburi dan Songkhla — dengan separuh akhir serta final dijadualkan diadakan di Bangkok. Hanya pemain bawah 22 tahun (lahir selepas 1 Januari 2003) dibenarkan beraksi dalam acara lelaki sebagai usaha Thailand melahirkan lebih ramai bakat muda berkualiti di rantau ini.
TAMAT